‘Merdeka bukan sekadar lafaz di bibir’
ALOR GAJAH 14 Ogos – Menjelang bulan kemerdekaan, rakyat Malaysia akan tampil dengan pelbagai cara untuk menzahirkan semangat patriotik dan cintakan negara.
Bagi seorang pesara tentera, Md Nasir Ahmad,63, beliau memilih misi mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan mengayuh basikal bersama rakannya sejak 2018 bermula di Taman Sri Naning, Alor Gajah hari ini.
“Pada saya merdeka bukan hanya sebutan di bibir tetapi kita perlu menjiwai apakah erti merdeka tersebut.
“Untuk lebih menghayati erti kemerdekaan, saya dan rakan melakukan misi ini dengan mengayuh basikal sejauh 2,500 kilometer (km) sambil membawa mesej kepada orang ramai.
“Saya banyak mengembara di negara Asean, kemakmuran negara mereka tidak sama seperti Malaysia, mereka bangga dengan bendera mereka sedangkan kita di Malaysia tidak ramai yang bersemangat patriotik,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Sri Naning di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Md Nasir turut meminta supaya warga merdeka (rakyat Malaysia) terus mengingati jasa, pengorbanan serta sumbangan pejuang tanah air demi memerdekakan negara.
“Lakukan perkara yang berguna sebagai warga merdeka, hindarilah perkara tidak sepatutnya yang boleh menjatuhkan nama mereka sendiri,” katanya sebelum meneruskan kembara merdeka tersebut.
Anak kelahiran Batu Pahat itu turut menyimpan impian untuk melakukan misi kayuhan kemerdekaan ke Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.