Sorting by

×

Merakyatkan kembali tradisi berpantun di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PENGKALAN BATU 11 Januari – Persatuan Ketua-Ketua Kampung (Sidang) Negeri Melaka mahu tradisi berpantun diangkat kembali sebagai amalan dalam kalangan masyarakat.

Yang Dipertuanya, Shaari Abu berkata tradisi berpantun kini semakin kurang popular malah apa yang dikesalkan adalah sikap segelintir orang Melayu sendiri yang tidak minat untuk berpantun, meskipun ia adalah seni warisan nenek moyang mereka.

“Justeru kami bertanggungjawab memastikan pusaka sastera bangsa Melayu tidak lenyap ditelan zaman dan arus masa, ia sewajarnya diberikan perhatian serta sanjungan.

“Jika tidak dipopularkan saya yakin generasi akan datang tidak akan tahu mengenai pantun. Malah hari ini ramai yang cetek pemikiran mengenai cabang kesusasteraan lain seperti gurindam, seloka, puisi, syair dan kata irama.

“Sebagai orang Melayu kita bertanggungjawab mengangkat, memartabat dan memperkasakan pantun di persada dunia supaya ia tidak ditelan zaman,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Kampung Pulau Kelapa, Peringgit, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shaari berharap badan koporat dan intitusi pendidikan di negara ini perlu bergabung tenaga bagi menghasil dan membukukan lebih banyak pantun.

“Puisi rakyat ini wajar dihidupkan kembali kerana pada baris-barisnya tersimpul daya rasa dan akal budi yang membijaksanakan fikiran serta mengindahkan perasaan.

“Tugas sidang ini bukan hanya berpantun, tetapi memastikan masyarakat di sesebuah kampung itu dalam keadaan harmoni dan bersatu hati selain mempunyai ciri kempimpinan yang tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1055
Kongsi :
Previous post Waris pemuda maut jatuh parit terima pencen bulanan seumur hidup
Next post Enam kampung selesai ditransformasi menjadi Kampung Digital
Ubah saiz-+=