Sorting by

×

Menyingkap erti sebuah pengorbanan

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

Oleh: Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil
Ketua Pegawai Eksekutif,
Zakat Melaka,
Majlis Agama Islam Melaka

AIDILADHA atau dikenali sebagai Hari Raya Haji disambut oleh umat Islam di seluruh dunia pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Ia dinamakan Hari Raya Haji kerana pada hari tersebut umat Islam mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci.

Namun, bagi umat Islam yang belum dapat menunaikan ibadah haji, mereka diberi peluang untuk melakukan ibadah korban dengan menyembelih binatang korban sebagai lambang ketakwaan dan kecintaan kepada Allah SWT.

Konsep pengorbanan dalam Islam dapat digambarkan dalam rentetan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail, dimana Nabi Ibrahim diperintahkan untuk melakukan korban dan penyembelihan ke atas putera kesayangan baginda iaitu Nabi Ismail. Walaupun berat hati Nabi Ibrahim untuk melakukannya, namun atas dasar ketaatan kepada Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan, maka Nabi Ibrahim bersedia melakukan korban terhadap puteranya itu.

Di dalam Islam, pengorbanan perlu dilakukan dengan niat yang ikhlas. Sikap ikhlas ini memberikan manfaat kepada orang yang melakukan ibadah korban. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berjuang di jalan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah SWT bersama orang-orang yang berbuat baik”.

Ayat ini membawa maksud bahawa apabila seseorang berkorban dengan niat yang ikhlas, maka Allah SWT memberikan keberkatan dan mempermudahkan jalan kehidupan yang baik dan lancar.

Ibadah korban juga dapat membentuk sifat pemurah dalam diri seseorang. Tidak dinafikan bahawa setiap individu berhak mencari dan mengumpul harta yang diingini. Namun, jangan leka dan alpa bahawa individu lain juga mempunyai hak ke atas harta yang dimiliki.

Demikian dimaksudkan dengan pengorbanan, iaitu mengeluarkan harta demi meraih nikmat kesyukuran di atas kurniaan kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Bagi mereka yang berkemampuan, laksanakan ibadah korban ini agar dapat memperolehi ganjaran pahala yang berganda di sisi Allah SWT, seterusnya mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya.

Sehubungan dengan itu, pengorbanan dalam Islam amat penting kerana ia merupakan cara umat Islam bersatu dan tolong-menolong dalam menjaga kepentingan bersama. Pengorbanan dalam Islam juga mengajar sikap mengambil berat dan belas kasihan sesama manusia.

Insan yang benar-benar memahami akan erti pengorbanan sebenar, maka baginya kebahagiaan yang tidak terhingga sekiranya dapat melakukan pengorbanan demi kepentingan orang lain berbanding diri sendiri. Insya-Allah.

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3370
Kongsi :
Previous post Kaligrafi Peribahasa Cina dari Melaka pecah rekod negara
Next post Zaiton ‘hero’ pembersihan Melaka
Ubah saiz-+=