Menyesal jual baju vintaj RM4,000

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

Oleh Adam Daniel Roslan

AYER KEROH 21 Mei – Sebalik timbunan kain kusam dan berhabuk yang dianggap sebagai sampah mungkin tersembunyi baju yang sebenarnya bernilai tinggi dan menjadi buruan peminat tertentu.

Jika kena dengan selera peminat barangan vintaj sanggup membayar harga mencecah puluhan ribu untuk sehelai baju ‘t’ atau jeans kusam.

Peluang itu digunakan oleh Fadzriq Nazrin, untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan bagi seorang pemuda yang baru berusia 21 tahun sepertinya.

BAJU ‘The Mask’ dijual pada harga RM4,000

Katanya, dia pernah menjual sehelai baju ‘The Mask’ pada harga RM4,000 yang semakin sukar untuk dicari dan menjadi buruan pengumpul barangan vintaj sejak aktif dalam perniagaan itu pada 2016.

“Sampai sekarang saya berasa kesal kerana melepaskan baju itu, tapi itu adalah barangan vintaj paling mahal saya pernah jual setakat ini.

“Semua ini bermula atas dasar minat dan hobi, menyedari ada peluang untuk menjana pendapatan saya cari baju dengan rekaan unik dan ‘rare’ untuk dijual.

“Sesuai dengan peredaran semasa saya menjalankan perniagaan secara maya, alhamdulillah ramai pengumpul barangan vintaj melayari instagram saya untuk melihat baju terkini dalam pegangan saya,” katanya.

Dia sedang menuntut dalam jurusan perbankan di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, kini semakin ramai meminati baju vintaj yang sebelum ini dipandang rendah dan tidak mempunyai nilai.

FADZRIQ beroperasi secara alam maya

Fadzriq berkata, barangan vintaj atau ‘bundle’ masih relevan kerana barangan ditawarkan mampu dimiliki oleh hampir semua golongan.

“Cabaran sekarang ialah jika ada penjual membuat onar, tidak jujur atau sebagainya, ia secara tidak langsung boleh merosakkan pasaran dan periuk nasi peniaga.

“Syukur setakat ini semua urusniaga saya berjalan lancar, begitu juga setiap kali mendapatkan stok baharu daripada pembekal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1521
Kongsi :
Previous post ADUN Machap Jaya jemput Orang Asli meriahkan sambutan Aidilfitri
Next post Orang Melaka jom meriahkan rumah terbuka Ketua Menteri
Ubah saiz-+=