Menu Rahmah: Asam pedas pertama Melaka berharga RM5

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 6 Februari – Restoran Asam Pedas Selera Kampung, di sini, menjadi restoran asam pedas pertama Melaka memperkenalkan Menu Rahmah pada harga RM5.

Pemiliknya, Saharudin Mohd. Nor, 56, berkata, inisiatif itu dilakukan sebagai salah satu inisiatif ‘kebajikan’ dan hanya ditawarkan kepada 100 pelanggan pertama pada setiap Isnin dan Khamis sahaja.

Katanya, ia juga sebagai menyahut seruan kerajaan dalam menyediakan menu pada harga rendah kepada rakyat negeri ini.

“Menu Rahmah yang ditawarkan di sini setakat ini melibatkan tiga jenis hidangan berbeza iaitu set asam pedas ikan, ayam dan daging tetel yang dihidang bersama nasi sayur dan telur masin serta sebotol air mineral.

“Saya anggap ini adalah kebajikan kepada masyarakat, walaupun murah namun kualiti hidangan adalah setanding menu biasa, cuma kita sesuaikan saiz hidangan sahaja dengan harga RM5 itu, misalnya ikan dan ayam saiznya lebih kecil berbanding harga biasa,” katanya ketika ditemui di restorannya itu.

Dia yang sudah 30 tahun meniaga bagaimanapun mengakui berdepan cabaran untuk menyediakan hidangan Menu Rahmah pada harga RM5.

Katanya, selain isu harga barang mentah yang kian meningkat, dia juga perlu mengambil kira nasib peniaga kecil lain yang mungkin berdepan kekangan untuk menawarkan menu sama pada harga rendah.

“Sebab itulah saya telah mengadakan perbincangan bersama rantaian pembekal sebelum memulakan inisiatif ini dan pada masa sama kita tidak mahu ada peniaga lain yang terkesan.

“Jadi, kita harap kerajaan dapat memberikan insentif berbentuk situasi menang-menang kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah ini di premis masing-masing,” katanya.

photo1675668333
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar menunjukkan hidangan Menu Rahmah, set Asam Pedas yang boleh didapati pada harga RM 5 ketika menjalankan pemantauan di Restoran Asam Pedas Selera Kampung, Banda Hilir. Turut bersama pemilik Restoran Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd Nor (kanan). Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar memuji inisiatif yang diambil restoran berkenaan dalam menyediakan Menu Rahmah set asam pedas kepada rakyat.

Beliau turut menyeru premis makanan lain di negeri ini agar turut sama menyahut seruan kerajaan itu dalam memperkenalkan Menu Rahmah, selain mengekalkan harga munasabah terhadap produk jualan mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7779
Kongsi :
Previous post Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat gempa bumi Turkiye setakat ini
Next post 25 restoran di Melaka tawar Menu Rahmah – KPDN
Ubah saiz-+=