Sorting by

×

Menu kreatif onde-onde isi ikan keli

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 Februari – Menu ‘Onde-onde pucuk ubi berlauk lele (ikan keli) serunding kelapa’ dihasilkan seorang perunding hartanah menambat hati juri, sekali gus diumumkan johan kategori ‘Modern Ethnic Cuisine’ Pertandingan Memasak Sungai dan Air Tawar 2024 di Pengkalan Rama, di sini, semalam.

Nur Hazwan Abu Hasan, 36, berasal dari Kampung Pengkalan Batu berkata, minat mendalam terhadap dunia masakan mendorongnya untuk menyertai pertandingan itu.

Jelasnya, inspirasi makanan yang diketengahkan merupakan idea kreatif melalui kajian yang dilakukan dalam tempoh dua minggu.

“Menu ini saya inspirasikan daripada kuih onde-onde Melaka,saya gantikan gula merah dalam kuih terbabit dengan isi ikan keli yang dimasak bersama serunding kelapa.

“Saya banyak buat ‘research’ (kajian), cuba banyak kali, untuk menghasilkan rasa yang sedap. Turut diambil kira adalah hasil akhir atau rupa makanan itu yang lebih menarik,” katanya kepada Melaka Hari ini.

Dia kini berkhidmat di sebuah syarikat perunding hartanah di Jasin, mula aktif mengambil bahagian dalam pertandingan masakan sejak setahun lalu.

“Dulu saya mengambil kursus kulinari, jadi secara tidak langsung mencabar saya untuk menghasilkan hidangan yang lebih menarik.

“Tahun lalu menu ikan patin kapit goreng rangup saya persembahkan dalam pertandingan masakan sekadar mendapat tempat ketiga. Kali ini alhamdulillah dan puas hati kerana menjadi johan,” katanya.

Selaku juara, Nur Hazwan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2487
Kongsi :
Previous post ‘Keli tempoyak pucuk ubi bersimpul kasih di Melaka’ tawan hati juri
Next post Tandas ’emas’ MTS lebih selesa
Ubah saiz-+=