‘Menu Keluarga UTeM’ serendah RM3

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 Julai – Peka dan prihatin terhadap penuntutnya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu mahasiswa mendepani cabaran kesan akibat kenaikan harga barangan ketika ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Masilla Kamalrudin berkata, antara inisiatif tersebut adalah dengan memperkenalkan ‘Menu Keluarga UTeM’ menawarkan harga makanan serendah RM3 hingga RM4 buat semua pelajar.

Katanya, bantuan lain seperti kupon makanan kepada pelajar dalam golongan berpendapatan rendah (B40) dan pengecualian sewa bulanan buat pengusaha kafeteria turut dilaksanakan.

“UTeM sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar khususnya dalam isu kenaikan harga barangan, kerana kita tidak mahu ada yang terpaksa ikat perut.

“Jadi selain daripada pemberian bantuan makanan dalam bentuk kupon kepada B40, kita memperkenalkan Menu Keluarga UTeM untuk pelajar mendapatkan hidangan berat dan berkhasiat seperti nasi, ayam, sayur dan minuman.

“Kami juga mengambil kira kebajikan pengusaha kafeteria dengan memberikan pengecualian sewa bulanan dari Julai sehingga Disember 2022 bagi memastikan harga makanan berada pada tahap stabil disamping kualitinya juga terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Wawancara Khas bersama Melaka Hari Ini (MHI) sempena 100 hari pentadbirannya selaku Naib Canselor UTeM di bangunan Canselori, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Syarif dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, Muhammad Amri Hakimi Alias.

Sementara itu Sabri berkata, UTeM turut memperhebatkan bantuan lain seperti Food Bank Siswa UTeM B40 kepada pelajar yang tinggal di Kolej Kediaman dalam dan luar kampus.

Manakala Muhammad Amri, ketika ditemui berkata, dia akan menjalankan amanah sebaik mungkin bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam menikmati bantuan tersebut.

“Sebagai wakil pelajar saya mengharapkan inisiatif ini dapat membantu, berikutan kenaikan harga ini memberi kesan kepada semua bukan setakat pelajar B40 sahaja.

“Saya akan terus memantau setiap aduan daripada rakan-rakan untuk dibawa kepada pihak pengurusan dan semua pelajar tidak berkemampuan dibantu di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1723
Kongsi :
Previous post Tiga PPS dibuka bagi mangsa banjir di Baling
Next post Banjir di Baling: Isytihar darurat bencana tahap I atau II – MB
Ubah saiz-+=