Sorting by

×

MENTERI KEBUDAYAAN, KESENIAN ASIA TENGGARA BERMESYUARAT DI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 23 Oktober- Melaka menjadi destinasi Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian Asia Tenggara (ASEAN) Ke-11 (AMCA Ke-11) bermula semalam hingga Khamis.

Mesyuarat anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Asean Bertanggungjawab kepada Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) ke-20 bersama Rakan Dialog.

Selain menjadi platform untuk mempromosikan kerjasama dan persefahaman tentang kebudayaan di antara Negara-Negara Anggota ASEAN turut dibincang dan diberi penekanan pada mesyuarat itu adalah kepentingan warisan budaya dalam memupuk perpaduan.

Mesyuarat dwitahunan itu menghimpunkan Negara-Negara Anggota ASEAN dan Rakan Dialog, antaranya Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea bagi memperkukuhkan hubungan budaya dan kerjasama dalam bidang seni di seluruh rantau ini.

Bertemakan ‘Bridging Culutres, Building Futures: Unity In Diversity’ mesyuarat itu mencerminkan komitmen untuk menggalakkan kerjasama dalam memelihara serta mempromosikan kekayaan warisan budaya ASEAN.

Merangkumi empat idea utama iaitu meraikan kepelbagaian budaya sebagai faktor penyatuan di rantau ini, selain mengajak anak muda untuk menghargai kepelbagaian identiti serta warisan budaya ASEAN.

Ia juga bertujuan mewujudkan nilai untuk aset budaya dalam ekonomi kreatif serta mempercepatkan pendigitalan dalam memelihara dan mengekalkan budaya dan seni.

Mesyuarat AMCA Ke-11 ini juga turut memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu belia, ekonomi kreatif dan pendigitalan, di mana dalam bidang ekonomi kreatif, Malaysia akan mengetuai dua inisiatif utama iaitu pembangunan Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN dan penganjuran Simposium Ekonomi Kreatif ASEAN yang dijadualkan pada awal tahun depan.

Selaras dengan fokus terhadap penglibatan belia, MOTAC dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia turut mengadakan Forum Belia dan Warisan ASEAN pada 24 Oktober yang akan menghimpunkan lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara.

Bersempena AMCA dan mesyuarat berkaitan juga, turut berlangsung Festival Seni ASEAN (AFA) pada esok yang akan mempamerkan pelbagai tradisi budaya dan seni daripada negara anggota ASEAN selain penggiat seni dari Plus Three dan Timor-Leste juga akan turut serta buat pertama kalinya.

Sebagai pengerusi mesyuarat AMCA, Malaysia akan menganjurkan pelbagai acara dan program dalam mempromosikan landskap seni dan budaya rantau ini.

Malah, Melaka juga telah dipilih sebagai Bandar Budaya ASEAN 2024-2026 dengan tiga objektif utama iaitu memperkukuh perkongsian identiti ASEAN; menggalakkan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya serta menonjolkan sejarah, seni, budaya dan tradisi di rantau ini.

Pemilihan itu juga bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang dianjurkan negeri ini, sekali gus membuka peluang untuk memperkenal dan mempromosikan produk pelancongan dinamik yang ada di Melaka.

Majlis perasmian AMCA Ke-11 akan disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Setiausaha Agung ASEAN Dr. Kao Him Hourn, esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post KEPENGERUSIAN ASEAN 2025: MALAYSIA BERHASRAT PERKUKUH HUBUNGAN SERANTAU
Next post MARTABATKAN JASA PETANI
Ubah saiz-+=