Menteri Kabinet harap tahun harimau bawa kemakmuran

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Menteri Kabinet mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang akan menyambutnya esok dengan masing-masing berharap tuah Tahun Harimau kali ini terus membawa kemakmuran dan kekuatan kepada Keluarga Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata Tahun Harimau melambangkan kekuatan dan keberanian yang sentiasa wujud dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Ia jelas dapat dilihat tatkala negara berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Kesemua ini dapat didepani dan diharungi dengan tabah sekali.

“Semangat berjuang, kebersamaan dan penyatuan dalam Keluarga Malaysia mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dan kesepakatan yang telah sekian lama terbentuk dan wujud antara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong melalui hantaran di laman Facebook berharap semoga Tahun Harimau ini memberikan kekuatan dan dikurniakan kesihatan baik.

“Kepada mereka yang menggunakan jalan raya, jadilah pengguna berhemah. Pastikan mendapat rehat secukupnya dan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Beliau juga menasihati rakyat bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 ditetapkan demi menjaga keselamatan diri dan insan tersayang sepanjang musim perayaan yang penuh bermakna ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali pula berharap agar Tahun Baharu ini membawa kebahagiaan, kemakmuran, kesihatan dan kekayaan.

“Sayugia Tahun Harimau membawa ciri-ciri keharmonian dan kebersamaan, kekuatan dan ketekunan, daya tahan dan keberanian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mengajak rakyat Malaysia merayakan Tahun Baharu ini dengan komitmen dan semangat untuk berganding bahu, bekerja sepenuh tenaga demi mengatasi cabaran pandemik COVID-19 dan menjamin pemulihan ekonomi yang rancak dan lestari.

Tegasnya, iltizam dan keyakinan penuh, negara akan melakar kejayaan yang berkekalan sebagai Keluarga Malaysia.

“Marilah kita merayakan Tahun Baharu Cina dengan penuh muhibah, saling menghormati, perpaduan utuh, memperkukuh ikatan sebagai bangsa yang progresif dan bermaruah sekali gus bergerak untuk mencipta masa hadapan lebih gemilang,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Rina Harun pula menyeru supaya Tahun Baharu kali ini diraikan dengan semangat muhibah, harmoni dan penuh keceriaan.

“Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh sahabat Tioghua di negara ini. Semoga permulaan lembaran baharu ‘harimau’ ini menyemarakkan semangat perpaduan serta membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan berterusan kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berharap sambutan tahun baharu ini membawa bersama kesihatan yang berpanjangan, kebahagiaan dan kemakmuran kepada rakyat Malaysia.

“Selamat Tahun Baharu Cina saya ucapkan kepada seluruh masyarakat Tionghua di Malaysia. Raikanlah perayaan ini dalam suasana norma baharu demi kesejahteraan semua, Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le,” ucapnya.

Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Tan Sri SA Vigneswaran turut tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina sambil berharap ia dapat dirai dalam suasana saling memahami dan perasaan hormat-menghormati antara kaum.

“Seperti semua sedia maklum, tahun ini adalah Tahun Harimau dan haiwan ini yang terkenal dengan ciri-ciri bertenaga, kekuatan dan keberanian diharapkan membawa kemuliaan, kecergasan dan keazaman di sepanjang tahun 2022,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Presiden MIC berkata kesanggupan rakyat Malaysia untuk meraikan kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat membuktikan ia sebagai suatu kekuatan kepada negara untuk terus maju dan berdaya saing.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1271
Kongsi :
Previous post Polis lumpuh sindiket guna lori tiga tan simpan, edar dadah
Next post EXPO 2020 Dubai akan tingkatkan hubungan antara pemain industri perkayuan Malaysia – UAE
Ubah saiz-+=