Sorting by

×

Menjadikan Melaka negeri sukan berbasikal

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PAYA RUMPUT 11 Disember – Melaka International Tourism Endurance (Miten) 2022 mahu diangkat sebagai acara kedua berbasikal terbesar dalam negara, selepas Le Tour de Langkawi (LTDL).

Pengarah Program, Shaiful Akhmar Mohd Noor berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk mengangkat Negeri Melaka sebagai negeri sukan berbasikal.

Katanya, program buat julung kali yang diadakan itu akan diusahakan untuk menjadi acara tahunan dalam kalender sukan negara.

“Kita mahu program Miten ini diangkat menjadi acara tahunan dan kita meletakkan penanda aras untuk menjadi acara kedua terbesar dalam negara selepas Le Tour de Langkawi (LTDL).

“Utk program itu (LTDL) para pesertanya terdiri dari peserta elit, untuk Miten ini pula pesertanya adalah amatur berusia seawal 18 tahun sehingga 45 tahun.

“Kita juga mahu acara ini diangkat menjadi acara tahunan di Melaka, kerana Melaka adalah negeri pelancongan yang dekat dan mudah diakses semua peserta dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pelepasan peserta Melaka International Tourism Endurance (Miten) 2022 di Stadium Hang Jebat, hari ini.

Pelepasan acara berbasikal pada jam 7.40 pagi itu disempurnakan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam, manakala acara perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, semalam.

IMG_20221211_124107_584
MELAKA 11 DISEMBER 2022. Sebahagian peserta berbasikal bersedia untuk dilepaskan pada program Melaka International Tourism Endurance 2022 di Perkarangan Stadium Hang Jebat, Melaka. Foto: MR. AZLI

Program julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan kira-kira 1,000 peserta dari dalam dan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Australia, Korea dan India.

Menurut Shaiful Akhmar, kayuhan amatur itu membabitkan jarak sejauh 150 kilometer di seluruh negeri.

“Laluan dalam Melaka ini meliputi ketiga-tiga daerah dan melibatkan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuklah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3302
Kongsi :
Previous post Dua beradik lemas ketika mandi di pantai
Next post ‘Tak sakit pun, cuma pedih sikit’
Ubah saiz-+=