Meninggal ketika mencari siput
MERLIMAU 16 APRIL. – Seorang lelaki yang keluar mencari siput ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Air Tawar Baru, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.41 petang sebelum sebuah jentera bersama lapan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat seorang lelaki berusia 26 tahun sesat ketika mencari siput.
“Difahamkan, mangsa masuk mencari siput kira- kira jam 7 pagi bersama seorang rakannya.
“Bagaimanapun kira- kira jam 12 tengah hari rakannya itu keluar untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari mangsa kemudian dilakukan bersama pihak polis sebelum dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.