‘Mengopi’ disebalik tirai besi, ada berani?

Masa Membaca:3 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 16 Mac – Berada disebalik tirai besi adalah satu pengalaman yang menggerunkan berikutan suasana penjara yang suram semestinya menyimpan pelbagai kisah tersendiri.

Meskipun banyak cerita negatif mengenai penghuni penjara, pemilik bersama sebuah di sini, menggunakan konsep disebalik tirai besi, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung khusus buat pencinta kopi di negeri ini.

PELANGGAN berpeluang mencoret contengan dinding di ‘bilik menunggu’ yang merupakan ruangan terakhir banduan sebelum ke tali gantung.

Dua anak muda bersahabat sejak dari kecil ini menceburkan diri dalam dunia perniagaan dengan membuka sebuah kafe yang dinamakan Kopi Jail sejak 1 Feb lalu dan semakin menjadi sebutan dalam kalangan orang ramai.

Pengurusnya, Anas Al-Afiq Azhar, 24, berkata, konsep yang diketengahkan pada kafe terletak di Muzium Penjara Melaka itu akan memberi pengalaman kepada pelanggannya bagi menikmati secawan kopi dalam suasana sel tahanan penjara.

ANAS (kiri) akan berkostum salah satu watak dalam siri filem ‘Money Heist’ sebagai tarikan kepada pelanggannya.

Dia yang berasal dari Jitra, Kedah, berkata perniagaan yang dijalankan bersama sepupunya, Nur Aimi Irfan Nor Azian, 21, memperkenalkan enam jenis minuman kopi dan apa yang unik setiap minuman itu dinamakan mengikut jenis-jenis hukuman penjara bertujuan untuk menarik pelanggan.

Menurutnya kafe Kopi Jail menawarkan enam jenis kopi antaranya Kopi Sebatan, Kopi Sepanjang Hayat, Kopi Reman, Kopi Seumur Hidup, Kopi Gantung dan Kopi Jail beroperasi setiap hari kecuali Isnin dari 9 pagi hingga 7 malam dan disambung sehingga 9 malam pada Jumaat hingga Ahad.

KOPI Jail yang dibuka sejak Februari semakin menerima sambutan penlanggan.

Manakala pengunjung yang datang juga turut diberikan peluang untuk mencoret contengan dinding di ‘bilik menunggu’ yang merupakan sebagai ruangan terakhir banduan sebelum ke tali gantung.

“Kafe yang beroperasi sejak Feb lalu dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan ia telah dibina dan diubah suai menggunakan tenaga daripada penghuni Sekolah Henry Gurney (SHG).

PELBAGAI produk kraftangan dihasilkan banduan daripada lebih 10 penjara seluruh Malaysia dijual dalam galeri yang terdapat pada kafe itu.

“Kami mahu membangunkan perniagaan seperti ini sebagai medan untuk mempromosikan produk-produk yang dihasilkan banduan penjara dan penghuni SHG untuk dikomersialkan secara terus kepada orang ramai.

“Malah, beberapa makanan seperti pastri dan makanan lain adalah produk keluaran penghuni wanita SHG dan beberapa peniaga kecil di sekitar. Jualan di kafe ini membantu mereka menambah pendapatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Anas yang juga alumni Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah (POLIMAS) dalam jurusan perancangan bandar tidak kekok biarpun beralih bidang berikutan telah didedahkan dengan ilmu perniagaan sebagai penjual air balang di bazar Ramadan sewaktu zaman persekolahan bersama sepupunya itu.

AIMI Irfan

Sementara itu, bagi Aimi Irfan usaha menjalankan perniagaan adalah jalan terbaik bagi mereka yang mengakui terdapat kekangan dan kurangnya permintaan dalam kebolehpasaran graduan mendapat pekerjaan kebelakangan ini.

Malah jelasnya, dia yang mempunyai sijil dalam bidang makanan dan minuman dari Akademi Pelancongan Langkawi (LTA) kehilangan pekerjaan selepas ditamatkan kontraknya dari sebuah hotel terkemuka berikutan terkesan akibat pandemik COVID-19.

GALERI kraftangan

Ujarnnya, bermula daripada saat itu dia bersama Anas merancang untuk membuka perniagaan menggunakan modal yang dikumpul hasil gaji bekerja sebelum ini.

“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan sehingga mampu membuka kedai sendiri dengan kelainan di dalam suasana penjara yang satu-satunya terdapat di negeri ini sekali gus mampu mempromosi Muzium Penjara Melaka.

“Kami bersyukur kerana sejak dibuka kawasan muzium kini dipenuhi pengunjung dan merancang akan membuka beberapa cawangan lain sekali gus menjadi platfrom mengetengahkan produk kraftangan dihasilkan banduan penjara.

“Malah, kami akan memperkembangkan lagi beberapa produk penjara yang lain sehinggalah ke makanan sejuk beku biarpun setakat ini hanya menjual barangan kraftangan dihasilkan lebih 10 penjara seluruh Malaysia,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2501
Kongsi :

One thought on “‘Mengopi’ disebalik tirai besi, ada berani?

Comments are closed.

Previous post Tiada kesan tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson
Next post 65.3 peratus populasi dewasa terima dos penggalak
Ubah saiz-+=