MENGINSPIRASIKAN MASA DEPAN MELALUI PENDIDIKAN: JT INTERNATIONAL SCHOOL MELAKA MENCETUS PERUBAHAN
BANDARAYA MELAKA 12 Disember – Formula pendidikan digunakan JT International School Melaka (JT), bukan sekadar untuk melahirkan anak-anak yang pintar, atau memperoleh markah yang tinggi setiap kali peperiksaan.
Sebaliknya pendidikan berlandaskan Kurikulum Cambridge digunakan, mampu melahirkan kanak-kanak memiliki kemahiran berkomunikasi, bersosial (berinteraksi di hadapan orang ramai) dan kepimpinan yang amat berguna bagi perancangan untuk pengajian peringkat tinggi pada masa hadapan.
Pengarah JT International School, Leow Zi Liang berkata, sekolah itu mula beroperasi pada 2023 dengan dengan menawarkan pendidikan seawal usia tiga hingga 17 tahun.
“Pada kebiasaan murid diajar teknik menjawab peperiksaan dan menghafal, tetapi kami lebih fokus kepada mencipta minat mereka untuk belajar dengan lebih baik. Pengalaman ini amat membantu mereka apabila memasuki universiti atau melangkah ke dunia pekerjaan kelak.
“Hasil kurikulum digunakan, anak-anak akan tahu bagaimana untuk bekerja dengan orang lain, cara untuk berkomunikasi dengan lebih baik seterusnya menjadi individu yang berjaya dalam kehidupan.
“JT bermula kira-kira 15 tahun yang lalu sebagai pusat pembelajaran yang mana ketika itu kami fokus kepada pelajar akan menduduki peperiksaan. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami menubuhkan sekolah ini dan kini kami berada di Pulau Melaka lebih setahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, JT International School cuba menyediakan sebanyak mungkin kemudahan yang berbeza untuk keselesaan para pelajarnya ketika mengikuti sesi pembelajaran di luar atau dalam kelas.
“Kami menyediakan gimnasium, bilik seni, makmal sains dan kami juga mengajar ICT dan pengkomputeran. Kami juga mempunyai banyak tempat untuk pelajar meneroka dunia mereka, seperti ‘JT Farm’ dan ‘JT Garden’.
“Mereka boleh belajar kemahiran insaniah dengan menjaga kehidupan lain seperti ternakan ayam dan itik. Pendedahan ini diberikan kepada anak-anak seawal usia tujuh tahun.
“Usia muda ini, terutamanya bawah tujuh tahun adalah masa terbaik untuk anak-anak meneroka, jadi kami berikan pendedahan yang sepatutnya. Mereka akan belajar mengikut program ’Cambridge Early Years’ melalui ’Play-Based Learning’, belajar bagaimana cara bertanya soalan dan bagaimana untuk meneroka perkara baharu,” katanya.
Katanya selain daripada pembelajaran subjek Matematik, Bahasa Inggeris, dan Sains, tenaga pengajar di JT menyediakan aktiviti dan pembelajaran berasaskan permainan.
“Pelajar dan murid akan belajar bagaimana mahu melakukan sesuatu atau kadang-kadang mereka membuat sedikit kesilapan, mereka akan belajar bagaimana untuk menyelesaikannya semula.
“Ia adalah perkara paling penting dalam pembelajaran. Mereka perlu belajar bagaimana untuk membuat kesilapan dan bagaimana untuk membetulkannya semula.
“Sebab itu guru-guru di sini lebih suka menghabiskan masa bersama anak-anak seperti ketika makan, bersukan dan melakukan aktiviti bersama mereka dan kadang-kadang, kami mengikuti apa minat mereka,” katanya.
Ujarnya, kurikulum Cambridge di JT menawarkan lebih 70 subjek yang boleh dipilih oleh para pelajar sendiri.
“Namun, kami fokus subjek lebih popular seperti biologi, kimia, fizik, perakaunan, perniagaan, ekonomi, kesejahteraan, pendidikan seni dan design, Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, Bahasa Melayu, Mandarin dan ICT.
“Setakat ini kami mempunyai kira-kira 60 pelajar dan murid yang mana mereka memulakan sesi persekolahan pada jam 8.30 pagi hingga 3.40 petang dan kokurikulum hingga 5 petang setiap hari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.