Mengigil nampak ular sawa ‘tidur’ di bahu anak
DURIAN TUNGGAL 7 Mac – “Saat itu saya hanya fikirkan untuk selamatkan anak sahaja dan dalam keadaan menggigil saya terus mendukung anak dan berlari keluar dari bilik,”
Itu pengalaman diceritakan kata Nurul Fatehah Amran, 24, apabila seekor ular sawa sepanjang kira- kira satu meter melingkar di atas bahu anaknya yang sedang tidur di atas katil dalam kejadian di rumahnya di Kampung Gangsa.
Dalam kejadian kira- kira jam 9 malam semalam, anak perempuannya berumur dua tahun ketika itu sedang tidur sebelum dia masuk ke bilik untuk menukar baju.
“Ketika menghampiri anak, saya agak hairan apabila ternampak ada benda berkilat bercorak batik di bahunya.
“Bagaimanapun ketika ingin mengangkat anak benda itu tiba-tiba bergerak dan dalam keadaan menggigil secara spontan saya terus mengangkat anak,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian menjerit memanggil suami dan abangnya memaklumkan kehadiran reptlilia itu yang berada di atas katil sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan bantuan.
“Bimbang dengan keadaan anak saya kemudian beberapa kali memeriksa badannya untuk melihat jika ada sebarang kesan atau kecederaan.
“Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan ditemui dan dia kelihatan seperti biasa,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan ular berkenaan datang dari semak tidak jauh dari kediamannya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 malam.
“Sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan dan sebaik tiba kita mendapati ular sawa itu masih berada di bawah bantal.
“Operasi menangkap ular sawa yang dianggarkan seberat kira- kira enam kilogram itu mengambil masa tidak lebih 15 minit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.