Menggigil lihat bumbung diterbangkan ribut
TANJUNG BIDARA 28 Julai – “Kejadian berlaku tidak sampai dua minit, sekelip mata sahaja. Deruan angin ketika itu amat menakutkan, macam bunyi kapal terbang.
“Bumbung, lampu dan tiang diterbangkan macam kertas ditiup angin, menjulang setinggi hampir dua batang pokok kelapa membuatkan saya menggigil ketakutan,” kata mangsa ribut dari Kampung Balik Batu, Roslan Daut, 68.
Dia berkata demikian ketika menceritakan detik cemas menyaksikan bumbung kediaman adiknya Ab Rahman Daut, 63, diterbangkan angin.
Menurut Roslan, kejadian jam 9 pagi itu adalah paling teruk dan menakutkan sepanjang menetap di kampung berkenaan sejak kecil.
“Sebelum kejadian saya sedang mengangkat kain di jemuran, tiba-tiba sahaja berlaku ribut. Saya nampak bumbung rumah adik yang diterbangkan ribut berpusing-pusing di udara sebelum jatuh di hadapan kediaman saya.
“Difahamkan sekitar tujuh buah rumah di kampung ini mengalami kerosakan bumbung akibat ribut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah, Leftenan (PA) Mohd Ridhwan Latip, berkata pihaknya menerima makluman berhubung kejadian pada jam 9 pagi.
Beliau berkata, setakat ini 15 buah rumah kediaman dilaporkan mengalami kerosakan manakala sembilan keluarga terjejas.
“Setakat jam 3 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah menghantar lapan anggota bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan semuanya sudah selesai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.