Sorting by

×

Menggigil ‘dihenjut’ pari 10kg Kelong Umbai

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SERKAM 23 Feb – Suasana sunyi pada jam 2 pagi di tengah lautan tiba-tiba bertukar kecoh apabila sebatang joran 15 kaki yang disandarkan pada tiang tiba-tiba direntap sang penghuni dasar.

Tali sulaman benang 25 pound (lbs) yang keluar tanpa henti menandakan ikan yang tersangkut pada hujung mata kail bukanlah bersaiz ‘kecil-kecil anak’.

Demikian detik-detik manis dikongsikan sekumpulan kaki pancing yang dikenali sebagai Malacca Anglers Team ketika berkunjung ke sebuah kelong memancing di Umbai, di sini, baru-baru ini.

Walaupun niat hanya sekadar mahu ‘cuba-cuba’ nasib, siapa sangka mereka mampu membawa pulang tangkapan lumayan dua ekor ikan pari tanjung seberat 10 kilogram (kg) dan 3 kg.

Menurut salah seorang wakilnya Ambran Mohamed, pengalaman bertarung dengan spesies dasar seberat 10 kg itu antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

MALACCA Anglers Team bersama hasil tangkapan.

Katanya, dengan berumpankan udang hidup bersaiz jari kelingking, dia sama sekali tidak menyangka ia akan disambar sang pari yang dianggap ikan trofi bagi sesetengah kaki pancing berikutan larian bertenaganya sebaik melarikan umpan.

“Memang kelam-kabut jadinya bila joran yang diletakkan di tiang kelong rebah disambar sang pari.

“Walaupun beberapa kali ikan itu memecut, saya cuba bertenang dan melayaninya dengan sabar berdasarkan pengalaman bertarung dengan spesies sama sebelum ini.

“Alhamdulillah pertarungan kira-kira 15 minit itu berpihak kepada kami apabila ikan berkenaan mula lemah dan berjaya dinaikkan ke atas kelong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ambran, dia bersama sembilan lagi pemancing turut tidak menang tangan melayan pelbagai spesies ikan lain seperti sembilang, tuka, duri, malong, tanda dan gelama.

Malah katanya, umpan hidup yang dilepaskan di bawah kelong turut disambar ikan siakap bersaiz besar.

“Namun, ia gagal dinaikkan apabila ikan berkenaan melarikan diri ke arah tali kupang yang dipasang pada kelong sebelum tali 100lbs yang digunakan putus begitu sahaja,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun kelong itu baru sahaja beroperasi kira-kira sebulan, namun kedudukannya yang strategik berhadapan Pulau Besar dan berhampiran paluh ikan menjadikan hasil tangkapan pemancing cukup memberangsangkan.

Dengan keluasan sesuai untuk 20 pemancing satu-satu masa, kelong berkenaan juga menawarkan kelengkapan asas seperti lampu, bekalan air bersih dan tempat memasak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4478
Kongsi :
Previous post Tiga beradik peroleh 8A UPKK
Next post Ringgit mengukuh ketika konflik Rusia-Ukraine meruncing
Ubah saiz-+=