Menggigil ‘diganggu’ ketukan misteri

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Dis. – “Saya hairan siapa yang mengetuk pintu rumah pada jam 3.30 pagi tadi dan saya memberanikan diri untuk meninjau melalui tingkap.

“Bagaimanapun, tiada sesiapa di luar dan tiba-tiba badan saya menggigil ketakutan apabila terfikir mungkin ada makhluk halus cuba mengganggu keluarga saya,” kata Mohd Amin Kassim, 32.

Peniaga dadih itu berkata, dalam kejadian awal pagi itu, dia masih belum tidur dan sedang bermain telefon bimbit, manakala isteri, Holimatus Holi, 28, sudah tidur bersama-sama empat anak berusia antara dua hingga 10 tahun.

Sedang asyik bermain, tiba-tiba dia terdengar ketukan pintu hadapan yang kuat hingga menyebabkan daun pintu bergegar.

Beliau memberanikan diri untuk membuka tingkap dan meninjau keadaan di luar tetapi tetap berhati-hati bagi mengelak kejadian  tidak diingini.

“Saya memberanikan diri membuka tingkap tetapi tidak nampak sesiapa pun di luar dan dalam sekelip mata tubuh saya menggigil ketakutan kerana terlintas di fikiran saya ada tetamu tidak diundang mencuba mengganggu kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Londang, di sini hari ini.

Mohd Amin berkata, sebaik sahaja dia menutup tingkap, ketukan itu terhenti dan dia menunggu kira-kira lima minit berhampiran tingkap untuk segera meninjau, jika ada sesiapa yang mencuba mengetuk pintu lagi dipercayai untuk mengganggu keluarganya.

Bagaimanapun, tiada ketukan susulan yang kedengaran dan sekali lagi dia meninjau keadaan di luar sebelum mendapati keadaan yang sama.

Katanya, dalam keadaan menggigil ketakutan, dia memastikan selak pintu tidak terbuka sebelum masuk ke dalam bilik.

Namun, kejadian itu tidak dimaklumkan kepada isterinya, sebaliknya dia memilih untuk berdiam sebelum mengambil keputusan menceritakannya kepada isterinya pada jam 10 pagi tadi.

Holimatus berkata, dia tidak mendengar sebarang bunyi kerana tidur dalam keadaan keletihan selepas menjaja dadih, sagu dan jeli kelapa yang dihasilkan sendiri di Pantai Peranginan Pengkalan Balak, dekat sini petang semalam.

“Setiap petang saya menjaja barang makan itu dengan berjalan di sepanjang pantai yang dipenuhi pengunjung dan selepas pulang, saya keletihan,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suaminya tidak mengalami kejadian tidak diingini ketika meninjau dari celah tingkap.

Views:

1222
Kongsi :
Previous post Semua hutang projek PR1MA yang dibatalkan dibayar pada 2023 – KPKT
Next post Isu Perak: UMNO, BN, MN bermesyuarat
Ubah saiz-+=