Sorting by

×

Mengaku terima rasuah, pegawai imigresen dipenjara 30 hari, denda RM40,000

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SEREMBAN 26 Feb. – Seorang pegawai imigresen hari ini dipenjara 30 hari dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah keseluruhannya berjumlah RM2,100 pada 2019 dan tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Shah Ezywan Abd Rahman, 34, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi setiap pertuduhan, Mohd Shah Ezywan didenda RM20,000 dan boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 30 hari bagi kedua-dua pertuduhan yang dijalankan serentak.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Shah Ezywan yang merupakan Pegawai Imigresen gred KP19 memperoleh suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang masing-masing berjumlah RM1,200 dan RM900 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Nilai pada 7 Julai 2019 dan antara 22 Mac hingga 19 Mei 2020.

Terdahulu, dalam prosiding pada 26 Januari lalu, Mohd Shah Ezywan yang ditahan dalam Op Selat mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (165KK) dan empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM885,950.

Bagaimanapun, mahkamah hari ini memerintahkan enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 165KK dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, digugurkan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak pelbagai aset berjumlah RM1,209,380.65 termasuk wang tunai, empat kereta dan barang kemas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Mohd Shah Ezywan diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post Zulkifli, Kiandee terima suntikan vaksin COVID-19
Next post Nelayan Klebang terima jeti baharu bernilai RM700,000
Ubah saiz-+=