Sorting by

×

MENELUSURI SUNGAI MELAKA DALAM SUASANA HARI RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 April – Meskipun masih dalam ‘mood’ hari raya, ramai dalam kalangan pengunjung yang memilih untuk merasai pengalaman menelusuri Sungai Melaka bersempena program Melaka Bila Larut Malam Edisi April 2025.

Dengan tawaran harga promosi RM10, perkhidmatan Melaka River Cruise berjaya menarik perhatian ramai yang mahu menyambut lebaran dalam suasana berbeza sambil menyaksikan keindahan Sungai Melaka pada waktu malam.

Bagi Nurul Farhanis Faisal, 25, dari Pulau Pinang, pengalaman menaiki bot pada Aidilfitri bersama keluarga adalah satu pengalaman amat menarik.

“Harga RM10 ini sangat murah dan semua orang, tidak kira usia, boleh menikmati pengalaman menaiki bot. Selain berkunjung ke rumah saudara atau kenalan kami dapat juga merasai suasana Aidilfitri atas bot.

“Kami memang gemar ke Melaka kerana negeri ini kaya dengan sejarah. Banyak tempat menarik untuk dilawati dan pemandangan yang cantik untuk berswafoto,” katanya yang hadir bersama 10 ahli keluarga lain.

Sementara itu, Suhana Hassan, 35, dari Durian Tunggal turut tidak melepaskan peluang membawa 11 ahli keluarganya untuk menaiki Melaka River Cruise sempena sambutan Aidilfitri.

“Ini pertama kali kami naik bot dengan harga RM10 biasanya lebih mahal. Bukan mudah mahu bawa keluarga besar naik bot bersama.

“Saya harap harga program Melaka Bila Larut Malam anjuran Kerajaan Negeri dikekalkan. Ia bukan sahaja menguntungkan orang Melaka, malah memberi peluang kepada pelancong luar untuk merasai pengalaman istimewa ini,” katanya.

Tambahnya lagi, beraya di atas bot memberi kelainan yang tidak dapat dirasai setiap tahun.

“Selain sambut Aidilfitri di rumah, kami pilih untuk beraya atas bot juga. Memang berbeza dan sangat menyeronokkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

979
Kongsi :
Previous post NIGHT SAFARI JADI PILIHAN BILA LARUT MALAM
Next post MUZIUM MELAKA TARIKAN PENGUNJUNG AIDILFITRI INI