MENELUSURI INTIPATI KETERANGKUMAN BAJET 2025 NEGERI MELAKA
Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak
PEMBENTANGAN Bajet 2025 Negeri Melaka bertemakan ‘Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang’ oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh mencerminkan komitmen kerajaan Negeri yang penuh iltizam dalam usaha untuk memastikan setiap perancangan yang diolah berupaya menzahirkan Melaka lebih berdaya saing, manakala setiap inisiatif yang dirangka berupaya menyasarkan agihan yang lebih inklusif merangkumi semua golongan rakyat di Negeri Melaka.
Kesemua inisiatif dan insentif yang disediakan dalam Bajet 2025 Negeri Melaka menterjemahkan komitmen tinggi kerajaan dan disifatkan sebagai menyeluruh berikutan input-input yang digarap turut mendapatkan pandangan rakyat Melaka bagi memastikan ia benar-benar komprehensif menepati keperluan setiap golongan sasar, malahan kerajaan negeri turut menilai kedudukan sumber yang ada demi memastikan setiap agenda dapat dicapai dengan berkesan seterusnya memacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan.
Bajet 2025 Negeri Melaka yang berpaksikan kepada tiga agenda teras, iaitu pertama, kepelbagaian ekonomi dan pengukuhan daya saing menterjemahkan kesediaan Melaka dalam meneroka ekonomi baharu. Kedua; kepedulian masyarakat dan transformasi modal insan berkualiti melibatkan 12 bidang tumpuan yang mengambil kira keperluan rakyat, manakala yang ketiga; perkhidmatan awam cekap dan berintegriti.
Kesemua agenda teras memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri menyediakan bajet yang mendahulukan kepentingan setiap lapisan rakyat di samping mencipta kepelbagaian peluang. Keterangkuman Bajet Negeri Melaka 2025 diterjemahkan secara komprehensif melalui 12 tumpuan utama berdasarkan 11 portfolio EXCO. Ia menterjemahkan keterangkuman dalam usaha memberikan inisiatif dan insentif terbaik kepada rakyat Negeri Melaka secara keseluruhan.
Negeri Melaka yang merupakan destinasi pelancongan utama negara semakin terserlah dengan slogan ‘Mana lagi..Melaka ler’ telah mendunia sehinggakan diberi kepercayaan untuk menganjurkan dua acara yang cukup prestij bertaraf antarabangsa, iaitu Hari Pelancongan Sedunia (World Tourism Day) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (World Tourism Conference). Ia bakal menghimpunkan delegasi dari 159 negara, serta ahli-ahli United Nations World Tourism Organization (UNWTO) antaranya dengan penglibatan Menteri-menteri Pelancongan Sedunia pada September 2025 bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’ turut melibatkan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Ini menandakan setiap inisiatif mahupun program yang dirancang bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 telah berjaya menarik kemasukan seramai 13.6 juta pelancong mahupun pengunjung sekali gus memberi impak limpahan ekonomi berganda kepada industri-industri yang berkait rapat dengan sektor pelancongan.
Secara keseluruhan, pencapaian inisiatif bajet 2024 adalah melebihi 90 peratus dan menampilkan tiga keberhasilan utama iaitu Inisiatif Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir dengan catatan kehadiran 2.3 juta pelancong. Kedua; inisiatif Kampung Digital yang mengaplikasikan penggunaan kod QR yang bertujuan memodenkan sistem alamat rumah serta meningkatkan kualiti akses data di komuniti kampung dan ketiga inisiatif penubuhan pasukan Paramedik Komuniti (PARAKOM) dalam memberi bantuan kecemasan awal secara percuma di kawasan kampung dan pusat tumpuan pelancongan.
Pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) bagi jajaran Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor turut memberi kesan positif kepada perkembangan ekonomi Negeri Melaka. Laluan WCE ini bakal mempercepatkan jaringan logistik pengangkutan dan rantaian bekalan terutamanya di kawasan tengah dan selatan semenanjung Malaysia. Di samping itu, sistem jaringan pengangkutan yang cekap turut membantu pertumbuhan kepelbagaian ekonomi dan industri baharu serta hub perindustrian berteknologi tinggi di Negeri Melaka seperti German Technology Park (GTP) dan MCorp Hi-Tech Park di bahagian utara Melaka. Jajaran WCE juga bakal merancakan pertumbuhan dan pembangunan kluster industri wilayah serta koridor ekonomi anjung selatan. Ekosistem yang terbina ini bakal menyasarkan segmen-segmen pembangunan kawasan perumahan dan perniagaan baharu seterusnya merangsang lagi pendapatan ekonomi masyarakat setempat di sepanjang jajaran tersebut.
Bajet 2025 Negeri Melaka turut menyentuh pembangunan ekonomi biru yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri merintis kepada pembangunan berterusan fasiliti terminal, pelabuhan mahupun mengupaya pertumbuhan ekonomi maritim. Antaranya; pembangunan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) di Pulau Melaka sedang dibangunkan di dalam kawasan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) dan dijangka siap dan beroperasi pada suku tahun ketiga 2026.
Bagi memastikan rakyat Melaka mendapat peluang pemilikan rumah, terdapat penyediakan kemudahan penetapan 10 peratus pembinaan Rumah Kos Rendah (RKR) bagi pembangunan perumahan lebih 10 ekar menerusi Dasar Perumahan Negeri Melaka. Terdapat juga Rumah Mampu Milik (RMM) yang turut disediakan dengan harga serendah RM180 ribu seunit serta Program Melaka Rumahku iaitu skim bantuan pembinaan rumah baharu secara percuma disediakan kepada yang berkelayakan.
Setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meneruskan agenda pemerkasaan kemudahan awam, baik pulih dan naik taraf kemudahan prasarana perniagaan, pembangunan kawasan rekreasi demi memberi kesejahteraan kepada rakyat. Bagi memastikan pengurusan banjir di negeri dapat ditangani dengan berkesan, kerja-kerja naik taraf, pembaikan infrastruktur, baik pulih tebing saliran serta penyelenggaraan takungan banjir diimplementasikan sebelum Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dijangka siap secara berperingkat.
Bajet 2025 Negeri Melaka juga menyasarkan pemerkasaan sektor pelancongan negeri Melaka diteruskan dalam menjayakan agenda utama selaku penganjur Hari Pelancongan Sedunia (World Tourism Day) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (World Tourism Conference), dan kesinambungan berterusan sehingga Tahun Melawat Malaysia 2026. Kehadiran Scoot Airlines dan Genting Dream Cruise ke jeti Melaka merancakan lagi aktiviti ekonomi pelancongan. Bagi memastikan momentum pertumbuhan berterusan, kerja-kerja naik taraf eko-pelancongan serta pelbagai produk baharu dilaksanakan antaranya; Glamping and Caravan Park Taman Ekstrem Tasik Chinchin, Jasin yang dilihat memiliki potensi sebagai daya tarikan bertaraf dunia. Penerokaan sejarah hubungan diplomasi 620 tahun kerajaan kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan China dijalankan bagi menambahkan lagi khazanah dan warisan sejarah negeri Melaka. Sukan tradisional seperti Dam Aji Melaka dan Konda Kondi turut diperkenalkan kepada seluruh masyarakat bagi memastikan seni warisan permainan tradisional Melaka terus dilestarikan.
Bajet 2025 Negeri Melaka turut memberi insentif kepada para pemimpin masyarakat terutamanya JPKK, JPKKB, dan Sidang dalam usaha memastikan kebajikan kepimpinan akar umbi terjaga. Penyediaan 1 Parakom 1 ambulans di setiap PBT memberikan nilai tambah bantuan kecemasan kepada masyarakat setempat. Kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur, baik pulih di setiap daerah bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat fasiliti yang terbaik.
Keterjaminan bekalan makanan terus diperkukuh dengan memastikan bekalan utama seperti beras, ikan dan daging sentiasa mencukupi. Umpamanya; Program Pembangunan Tanah-Tanah Sawah Terbiar melalui konsortium memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan terutamanya pengeluaran padi. Selaras dengan Kampung Digital, inisiatif mendigitalkan haiwan ternakan melalui kod QR diperkenal dan bertujuan mengelakkan kemalangan yang tidak diingini sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Bajet 2025 Negeri Melaka menekankan pemerkasaan digitalisasi sistem perkhidmatan, infrastruktur ketersambungan digital mahupun liputan jalur lebar terus diperluas sehingga di ceruk kampung dan desa. Program Rakyat Digital Melaka berupaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran digital masyarakat, manakala Inisiatif Tanpa Tunai yang diperluaskan ke sektor kerajaan mampu menaikan lagi hasil kutipan kerajaan seterusnya dilihat mampu melonjakan lagi kesediaan Melaka menjadi sebuah negeri pintar. Bagi kemastikan rakyat menerima perkhidmatan infrastruktur yang baik, kerja-kerja menaiktaraf dan selenggara jalanraya, jambatan, infrakstrukur bekalan air juga dipertingkatkan. Pas Konsesi Percuma diperkenalkan untuk golongan warga emas, OKU, pelajar sekolah dan mahasiswa dalam perkhidmatan bas menzahirkan keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat. Infrastruktur dan penyediaan sistem jaringan pengangkutan yang terancang menjadi di antara pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan di Negeri Melaka.
Berteraskan kepedulian masyarakat, Bajet 2025 Negeri Melaka memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri menyantuni semua lapisan masyarakat agar tiada yang tercicir. Bantuan kebajikan kepada golongan rentan, berkeperluan khas, pembangunan keluarga serta bantuan kepada golongan wanita. Apa yag menarik adalah Program Insentif Pra-Perkahwinan kepada 2,500 peserta terawal bagi mengikuti kursus kahwin secara percuma. Golongan belia turut tidak terkecuali dalam mendapat manfaat seperti program belia progresif. Dalam pembangunan sukan pula, bajet Melaka 2025 meneruskan usaha naiktaraf prasarana serta pembaikan kemudahan sukan komuniti di setiap DUN.
Pembangunan infrastruktur kesihatan sentiasa dipertingkat antaranya; Putra Specialist Hospital sebagai pusat penyediaan Perkhidmatan Kardiologi dan Pembedahan Kardiotorasik di Negeri Melaka dengan kerjasama Institut Jantung Negara, ia sekaligus merancakan sektor pelancongan kesihatan. Manakala program kesihatan awam terus diberikan kepada rakyat yang memerlukan antaranya pengenalan Tabung Bantuan Dialisis Negeri Melaka dapat memberi kelegaan kepada pesakit buah pinggang yang berkelayakan. Aktiviti perpaduan dan program kesukarelawan terus dilaksanakan bagi melahirkan komuniti yang bertoleransi bagi mencapai kesepaduan nasional.
Dalam usaha melahirkan anak bangsa yang berilmu lagi berkemahiran, pembangunan instrastruktur serta program pembangunan pendidikan giat dijalankan oleh kerajaan negeri. Sokongan dan bantuan kepada yang berkelayakan disalurkan melalui Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM). Pelbagai program diatur dalam usaha melahirkan kemenjadian pelajar. Pelbagai inisitatif pembangunan syiar Islam terus diperkasa dalam menyantuni golongan asnaf, guru-guru KAFA sehinggalah kepada pelajar tadika JAIM. Pemerkasaan koperasi diteruskan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, di samping itu jualan Rahmah diteruskan dalam usaha memenuhi keperluan barangan harga patut yang sentiasa dinantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sektor TVET terus diperkukuh dengan mewujudkan TVET Komuniti melalui penerapan elemen kemahiran penduduk setempat kepada pelajar TVET yang menjalani latihan industri.
Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang bermula pada Januari 2025 sehingga November 2026 di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal menguji agenda teras kepedulian masyarakat dalam peruntukan Bajet Negeri Melaka 2025. WRUR merupakan program khusus dalam menyantuni rakyat secara mikro dan menyeluruh yang melibatkan kepimpinan akar umbi, termasuk ADUN, JPKK, JPKKB serta agensi kerajaan yang berperanan untuk menyelesaikan isu-isu rakyat serta penganjuran program kemasyarakat, keusahawan, sukan dan sebagainya di setiap DUN.
Natijahnya; keterangkuman inisiatif dan insentif dalam Bajet Negeri Melaka 2025 menyasarkan agihan yang lebih menyeluruh dan mencakupi semua lapisan semua rakyat di Negeri Melaka. Bajet kali ini menampilkan inisiatif-inisiatif yang komprehensif lagi inklusif yang membuktikan kesungguhan kerajaan negeri yang prihatin dan peka kepada aspek kemajuan ekonomi serta kebajikan rakyat sentiasa diutamakan agar tiada yang merasa tercicir. Pengumuman insentif Bantuan Khas Kewangan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kepada para penjawat awam Negeri Melaka menunjukan apresiasi terhadap sumbang bakti penjawat awam agar meneruskan momentum santunan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.