Sorting by

×

MENDIGITALKAN BECA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 27 Disember – Pengurusan beca Melaka akan menjalani transformasi digital bertujuan menambah baik perkhidmatan berkenaan yang merupakan antara ikon pelancongan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu bakal direalisasikan selepas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mewartakan Undang-Undang Kecil (UUK) kepada pengayuh beca bertujuan menyelaras kawasan dan penyeliaan perkhidmatan pelancongan lebih berkesan.

Jelas beliau, menerusi inisiatif itu, semua pengayuh beca akan dilesenkan dan disaring mengikut had umur yang ditetapkan munasabah.

“Selepas ini, semua beca akan dinomborkan dan diberi satu kod QR di mana, pelanggan boleh mengimbas dan menyimpan maklumat beca yang dinaiki. Saya melihat, dengan adanya satu sistem yang diperkemaskan untuk beca-beca ini, ia dapat menjamin keselamatan penumpang dan pengayuh beca itu sendiri.

“Dengan adanya sistem baharu ini juga kita dapat mengawal kebanjiran beca-beca haram di kawasan pelancongan dan seterusnya pengayuh beca dapat kita iktiraf sebagai duta pelancongan Melaka, sekali gus meningkat mutu perkhidmatan pelancongan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, di Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam pembentangan beliau, Ab Rauf turut mengumumkan program MESRA Pengayuh Beca akan diteruskan dan memberi manfaat kepada 260 pengayuh beca berdaftar di negeri ini.

Menurut beliau, ia merupakan inisiatif bagi menjaga kebajikan pengayuh beca di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

287
Kongsi :
Previous post BAJET MELAKA 2025: DISKAUN 10 PERATUS CUKAI TANAH
Next post PERUBAHAN PORTFOLIO, BUKAN ROMBAK EXCO – KM
Ubah saiz-+=