Menara telekomunikasi KPM Ayer Molek beroperasi November ini
DUYONG 13 Ogos – Warga Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek bakal menikmati perkhidmatan jalur lebar lebih berkualiti apabila menara telekomunikasi baharu kini sedang dalam pembinaan dijangka memulakan operasi November ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, permasalahan dihadapi warga KPM Ayer Molek mula disuarakan sejak 2021 lagi, namun atas sebab teknikal syarikat telko terpaksa menukar tapak bagi membina menara berkenaan ke lokasi lain.
“Perkembangan ini adalah antara hasil daripada perbincangan bersama wakil enam syarikat telko yang turut bersama pada sesi Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Melaka, hari ini.
“Kemudahan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 13 menara dibina sekitar Negeri Melaka tahun ini. Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Melaka serta Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) untuk selesaikan masalah ini,” katanya.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Melaka di Kompleks Japerun Duyong, hari ini.
“Jadi pelajar di kolej ini diharap dapat bersabar, sedikit masa lagi insya-Allah November selesai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.