Menara Taming Sari semakin meriah di penghujung tahun
BANDA HILIR 13 Julai – Menara Taming Sari bakal menganjurkan tiga program berskala besar bagi merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad Nasrul Ahmad berkata, tiga program itu adalah Melaka Fun Ride 3.0, Tower Hunt 2024 dan Fun Run 2024 yang akan dijadual pada September, Oktober dan November depan.
Menurutnya, untuk program Melaka Fun Ride 3.0 yang dijadual pada 14 September, ia dijangka membabitkan seramai 1,000 peminat sukan berbasikal seluruh negara, membabitkan dua jarak perjalanan iaitu 50 kilometer dan 10 kilometer.
“Untuk program itu juga, Menara Taming Sari akan berkolaborasi bersama Traxx FM yang akan membuat siaran langsung dan turut membawa tiga artis untuk program tersebut.
“Turut diadakan program kibaran Jalur Gemilang dari Menara Taming Sari bersempena Hari Malaysia, selain pelbagai aktiviti menarik lain akan turut diadakan.
“Selepas itu, pada Oktober kita akan menganjurkan pula Tower Hunt dan diikuti Fun Run yang dijadual pada November depan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program O’Tropikal Durian Karnival Melaka Meh Melantak Durian! di perkarangan Menara Taming Sari.
Mengulas lanjut, Nasrul berkata, kesemua program khas itu merupakan antara usaha Menara Taming Sari dalam merealisasikan sasaran 700,000 pengunjung sepanjang tahun ini.
“Alhamdulillah, setakat Jun, kita telah mencapai hampir 300,000 pengunjung dan berbaki enam bulan ini, kita akan bekerja lebih kuat untuk menarik kehadiran pelancong dan seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.