Menara Taming Sari kembali ‘hidup’
BANDA HILIR 3 Okt – Produk pelancongan popular Melaka, Menara Taming Sari (MTS) yang merupakan mercu tanda pelancongan negeri ini kembali ‘hidup’ selepas hampir setahun tidak beroperasi.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di lokasi pada hari kedua menara tersebut kembali beroperasi mendapati pengunjung yang datang rata-rata tidak mahu lepaskan peluang menaiki ikon pelancongan negeri itu.
Bagi pengunjung Muhammad Affiq Abdul Rashid, 31, dia memilih untuk membawa isteri serta anaknya ke MTS itu kerana terpikat dengan promosi yang ditawarkan pihak pelancongan terbabit selain memikirkan dia sebagai anak jati negeri Melaka yang belum menaiki menara terbabit.
“Saya teruja kerana walaupun saya orang Melaka, tetapi ini kali pertama saya menaiki MTS bersama keluarga.
“Antara lain, sebagai anak negeri ini, sudah pasti saya sekeluarga akan terus merancakkan produk pelancongan Melaka bagi membantu jana ekonomi negeri tercinta ini,” katanya.
Keterujaan itu turut dikongsi seorang lagi pengunjung, Nor Suhaila Mad Nawe, 27 ,yang berasal dari Terengganu, yang baru berkhidmat di Melaka sebagai guru.
Katanya, pertama kali menaiki MTS itu, dia berasa teruja dan gembira selepas hampir sembilan bulan berpindah ke negeri itu.
“Masa saya sampai di Melaka pada bulan Februari lalu, negeri ini terdapat banyak lokasi pelancongan yang menarik untuk dilawati, namun oleh kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu, saya hanya pendam rasa nak melancong.
“Selepas Melaka diumum masuk ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), saya tidak lengah masa untuk melancong dalam negeri bersejarah ini dan saya sangat teruja.
“Saya berpeluang untuk melihat pemandangan Melaka di atas MTS dan pemandangan Melaka dari atas menara ini sangat cantik,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Nur Azrina Mohammad Zawawi, 30, dia terpukau dengan pemandangan Melaka yang masih terpelihara cantik seperti tiga tahun lalu sewaktu pertama kali dia menaiki MTS pada tahun 2018.
Katanya yang berasal dari Kelantan dan berkhidmat di Melaka itu, dia berasa teruja apabila kerajaan negeri membuka peluang untuk penduduk dalam Melaka melancong menerusi kempen ‘Melakan Visit Melaka’.
“Pada saya yang kali kedua naik MTS ini, pemandangan sekitar Melaka yang dilihat masih lagi cantik, dan tempat pertama dituju selepas beralih Fasa 3 PPN di Melaka ini memang di sinilah tempatnya, istimewa bagi saya.
“Pihak MTS amat titik beratkan aspek SOP dan kami sebagai pengunjung terasa selesa dan selamat,” jelasnya.
Untuk rekod, Menara Taming Sari yang dibuka pada tahun 2008 itu mempunyai ketinggian 110 meter dan boleh berputar 360 darjah untuk pengunjung melihat panorama Bandaraya Melaka secara keseluruhan dan nama dan rekaan menara itu diambil berdasarkan reka bentuk Keris Taming Sari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.