
MENARA TAMING SARI KEKAL DINAMIK SELEPAS 17 TAHUN
BANDA HILIR 17 April – Selepas 17 tahun ditubuhkan reputasi Menara Taming Sari sebagai ikon pelancongan utama Melaka perlu dikekalkan dan diperkasakan lagi menerusi tawaran pelbagai produk sampingan baharu buat pengunjung.
Cadangan untuk mempelbagaikan lagi produk sampingan itu bertujuan untuk memastikan Menara Taming Sari terus kekal menjadi pilihan utama pengunjung dan pelancong, sekali gus kekal dinamik.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sejak 2008 Menara Taming Sari sudah menerima seramai 8 juta orang pengunjung, namun pihak pengurusan ikon pelancongan berkenaan diharap tidak cepat berasa selesa dengan pencapaian cemerlang itu.
“Mungkin ada pelancong yang sudah dua atau tiga kali berkunjung ke sini, jadi perlu untuk kita tawarkan produk baharu selain menyaksikan pemandangan menarik bandaraya bersejarah ini dari udara kepada mereka.
“Bukan sahaja tidak mahu pengunjung berasa jemu, usaha ini juga membantu MTS menjana pendapatan menerusi sumber baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Menara Taming Sari di perkarangan menara ikonik itu, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Jabatan Ketua Menteri Melaka, Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan, Ahli Lembaga Pengarah Melaka Taming Sari Berhad, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka selain, pemain industri pelancongan tempatan.
Abdul Razak yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Taming Sari Berhad berkata, kewujudan Menara Taming Sari juga banyak membantu dalam menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan unggul dunia.
“Menara Taming Sari adalah antara destinasi tumpuan ramai yang membantu Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran jumlah pengunjung dan pelancong melebihi 15 juta orang sepanjang kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berlangsung.
“Selain itu rekaan menara yang unik dan boleh berputar 360 darjah antara tarikan buat pengunjung dan pelancong untuk berkunjung ke bandaraya ini,” katanya.
Terdahulu pada majlis sama turut berlangsung penyampaian penghargaan kepada wakil agensi pelancongan yang banyak membantu menarik pengunjung ke Menara Taming Sari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.