MENARA TAMING SARI GAMIT 9 JUTA PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 4 November – Sejak mula beroperasi pada April 2008 hingga September tahun ini, Menara Taming Sari telah menggamit seramai sembilan juta pengunjung domestik dan antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu sekali gus memberi gambaran jelas bahawa produk pelancongan di bawah Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) itu menjadi antara destinasi pilihan utama para pelancong yang berkunjung ke Melaka.

Malah, beliau turut berbangga dengan beberapa pengiktirafan membanggakan yang diterima Menara Taming Sari, antaranya, pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) pada tahun 2009 sebagai The First Revolving Gyro Tower In Malaysia.

“Selain itu, Menara Taming Sari turut menerima pengiktirafan sebagai produk pelancongan pertama di Melaka yang mendapat Sijil Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA), selain difahamkan ia juga juga sering dijadikan rujukan kepada produk-produk pelancongan yang lain dalam aspek pengoperasian.

“Apapun, saya amat berterima kasih kepada MTSB kerana sentiasa menyokong usaha dan inisiatif kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pelancongan bumi bertuah ini ke suatu tahap yang lebih dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran Baharu Melaka Taming Sari Berhad di Plaza Mahkota, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MTSB; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MTSB Datuk VP Shanmugam; Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nasrul Ahmad serta lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya, Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada MTSB di atas kejayaan memiliki pejabat baharu dalam memastikan urusan pentadbirannya beroperasi dengan lebih efisien.

“Saya yakin, pembukaan pejabat baharu yang mula beroperasi pada 1 Ogos lalu ini adalah satu langkah positif ke arah meluaskan peluang perniagaan di samping dijadikan touch point untuk memajukan operasi Melaka Taming Sari Berhad,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

160
Kongsi :
Previous post POTENSI MELAKA SEBAGAI ‘HOMEPORT’ SYARIKAT PERKAPALAN DUNIA
Next post PENUBUHAN IADA SELATAN BAKAL BERI MANFAAT KEPADA PESAWAH NEGERI SEMBILAN, MELAKA DAN JOHOR
Ubah saiz-+=