Menara pemantau APM di pantai Batu Feringghi tumbang
GEORGE TOWN, 7 Jan – Sebuah menara pemantau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang yang terletak di kawasan pantai Batu Ferringhi, di sini, tumbang awal pagi tadi dipercayai akibat hakisan pantai.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.40 pagi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana kawasan sekitar menara pemantau tersebut telah ditutup oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan APM.
Beliau berkata berdasarkan laporan daripada pihak sebuah hotel di Batu Feringghi, menara pemantau APM setinggi 10 meter telah tumbang akibat daripada fenemona air pasang tinggi yang menghakis sebahagian Pantai Batu Ferringhi.
“Kejadian hakisan di kawasan menara pemantau itu mula berlaku pada 23 Dis lepas dan ia menjadi lebih teruk kerana berlaku fenomena air pasang besar pada awal bulan Januari ini dan telah mempercepatkan hakisan di kawasan tersebut.
“Berikutan kejadian itu pihak MBPP dan APM telah menutup kawasan tersebut dan semasa kejadian berkenaan tiada sesiapa di situ serta tiada kecederaan melibatkan pengunjung atau petugas,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil Khir berkata pejabat Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kadun) Tanjung Bungah bersama pihak MBPP, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), APM dan pihak hotel telah melawat tapak menara itu, pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah berkata menara pemantau tersebut akan dirobohkan secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Disamping itu, pihak JPS akan membuat lawatan tapak untuk mengenal pasti cara pembaikan hakisan tersebut. Saya ingin mengingatkan semua pengunjung ke Pantai Batu Ferringhi supaya berhati-hati dan memberi kerjasama semasa kerja-kerja pembersihan menara tersebut dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Timur Laut Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata pihaknya mengosongkan sebahagian kawasan pesisir pantai susulan kejadian menara tinjau tumbang itu dan pada masa ini pemasangan tali sebagai penghadang sudah dilakukan.
Katanya, pihak APM memantau keadaan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku dan pihaknya kini sedang menunggu tindakan daripada agensi teknikal bagi melakukan pengosongan di kawasan runtuhan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.