Sorting by

×

Menangis lihat artifak Rasulullah SAW

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PENGKALAN BATU 5 Nov. – “Meskipun tidak pernah melihat Rasulullah SAW, namun entah mengapa hati ini rasa rindu teramat sangat sehingga mengalir air mata sebaik sahaja menyaksikan sendiri artifak peninggalan baginda,” luah seorang mualaf, Nur Hidayatul Jannah Abdullah, 52.

Dia berkata, dirinya menjadi sebak seolah-olah kekasih Allah SWT itu berada dekat di hatinya sebaik menjejakkan kaki ke Pameran Artifak Rasulullah dan Para Sahabat di Masjid As Syakirin, di sini.

Katanya, dia bagaikan tidak percaya kerana dipermudahkan urusan untuk mengenali Islam dengan lebih dekat selepas membaca khalimah syahadah untuk kali kedua pada tahun 2016.

“Saya rasa diri amat berdosa, namun Allah SWT permudahkan segalanya untuk mengenali Islam dengan lebih dekat meskipun sudah lama memeluk Agama Islam.

NUR Hidayatul

“Pertama kali dan kali kedua saya pergi ke pameran sama di Telok Mas, awal tahun ini, manakala pameran itu adalah yang ketiga. Saya rasa tidak puas dan sentiasa hendak melihat barangan peribadi Rasulullah.

“Sebaik sahaja masuk ke ruang pameran, saya sudah rasa lain macam sehingga mengalir air mata, lebih-lebih lagi apabila melihat tapak kaki Rasulullah SAW, artifak baginda terngiang-ngiang di kepala saya sejak pameran yang pertama sehingga saya kembali semula ke pameran ini buat kali ketiga,” katanya.

Penyelaras Pameran yang mewakili Galeri Warisan MAR Terengganu Suhaimi Ali berkata, sebanyak 14 artifak barangan peninggalan Rasulullah dipamerkan dalam pameran berkenaan.

Katanya, antara kelainan yang dipamerkan adalah terdapat beberapa peninggalan Rasulullah SAW yang tidak pernah dipamerkan antaranya termasuk ekstrak peluh di tikar pembaringan Rasulullah SAW, kayu sugi dan tongkat baginda.

“Dalam keadaan dunia akhir zaman ini ditambah dengan dunia berdepan pandemik COVID-19, kita mahu kembalikan semangat cintakan Rasulullah SAW.

SUHAIMI Ali

“Orang kata, ‘tak kenal maka tak cinta’, jadi kita mahu hadirkan budaya dalam masyarakat supaya mengenali Rasulullah SAW dengan lebih dekat menerusi artifak barangan peribadi baginda,” katanya.

Beliau berkata, pada hari pertama pameran itu berlangsung bermula semalam, seramai 400 pengunjung mula berkunjung ke pameran tersebut.

“Ia satu perkembangan yang baik dan kita harapkan lebih ramai orang mengunjungi pameran itu untuk melihat sendiri dengan lebih dekat artifak peninggalan Rasulullah SAW” katanya.

Pameran Artifak Rasulullah SAW mula dibuka pada jam 10 pagi hingga 10 malam bermula semalam dan dijangka berakhir pada 12 November ini.

Views:

1769
Kongsi :
Previous post Jangan malu jika terlanjur – Latipah
Next post COVID-19: England kuat kuasa sekatan pergerakan nasional kedua
Ubah saiz-+=