MENANGANI ‘KETEGANGAN MATA DIGITAL’
Oleh: Dr. Navpreet Sidhu
Pakar Bedah Mata
Putra Specialist Hospital Melaka
PADA zaman kini, ketegangan mata digital atau lebih dikenali sebagai ‘digital eye strain’ telah menjadi sesuatu masalah yang sering berlaku.
Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor, namun kita perlu tahu cara-cara untuk mengatasinya demi kesihatan mata.
EVOLUSI TEKNOLOGI DAN KESAN TERHADAP KESIHATAN MATA
Sejak penularan wabak COVID-19, ramai di antara kita, termasuk pelajar sekolah, terpaksa merenung skrin komputer dalam waktu yang panjang disebabkan kerja dari rumah (work-from-home) atau menghadiri kelas secara dalam talian (online).
Keadaan ini akan menyebabkan timbulnya masalah mata dan penglihatan yang berpunca daripada penggunaan komputer yang berpanjangan, di mana ia dikenali sebagai ‘computer vision syndrome’ atau sindrom penglihatan komputer.
Malah ia turut dikenali sebagai ketegangan mata digital. Selain daripada melibatkan ketegangan mata, ia juga merangkumi beberapa gejala kesakitan tubuh.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) lebih daripada 60 peratus pekerja yang menggunakan komputer di tempat kerja mengadu sakit belakang, sakit bahu dan leher, manakala hampir 70 peratus daripadanya mengadu ketidakselesaan mata yang berkaitan dengan ketegangan mata digital.
KESIHATAN MATA TANGGUNGJAWAB KITA
Walaupun masih belum ada bukti bahawa kerosakan mata secara kekal boleh disebabkan penggunaan komputer, namun ia boleh menyebabkan ketidakselesaan sementara yang seterusnya dapat mengurangkan produktiviti kerja dan menjejaskan kepuasan kerja.
APAKAH GEJALA KETEGANGAN MATA DIGITAL?
Ketegangan mata digital berlaku disebabkan pergerakan mata yang berulang-ulang serta mata anda perlu sentiasa fokus sepanjang masa.
Otot mata bergerak secara berulang-ulang semasa membaca dan ini menyebabkan rasa tegang di otot mata.
Penggunaan komputer akan menjadi lebih sukar seiring dengan umur kerana keupayaan mata untuk memfokus objek jauh dan dekat akan mula berkurangan apabila kita berumur 40 tahun ke atas.
Selain itu, cahaya dari skrin computer juga dapat mempengaruhi rasa ketidakselesaan mata. Kekerapan mata kita berkelip juga akan berkurang dan ini akan menyebabkan masalah mata kering.
BAGAIMANA MASA SKRIN (SCREEN TIME) MEMPENGARUHI PENGLIHATAN?
Penggunaan komputer dalam waktu yang panjang dan berterusan boleh menyebabkan ketegangan dan ketidakselesaan mata serta mengganggu prestasi kerja. Gejala-gejalanya termasuk:
– Kabur penglihatan
– Penglihatan berganda
– Mata kering, berkesat dan merah
– Kerengsaan mata
– Sakit kepala
– Sakit leher atau belakang
LANGKAH MUDAH KURANGKAN RISIKO KETEGANGAN MATA DIGITAL
1. Dapatkan pemeriksaan mata menyeluruh:
> Maklumkan kepada doktor sekiranya anda menghidapi apa-apa masalah berkaitan mata. Anda mungkin menghidap rabun jauh, rabun dekat, silau ataupun rabun tua.
2. Gunakan pencahayaan yang betul:
> Sesuaikan pencahayaan di ruang kerja anda bagi mengurangkan kesan silau di skrin komputer. Anda juga boleh menambah penapis silau pada skrin anda.
3. Ambil rehat yang kerap serta berkelip lebih kerap:
> Ikuti peraturan 20-20-20. Setiap 20 minit, lihat sesuatu sekitar 20 kaki jauhnya selama 20 saat. Sekiranya mata terasa kering atau pedih, titiskan pelembap mata untuk kelegaan.
4. Pertimbangkan cermin mata ‘anti-blue light’:
> Cermin mata anti-blue light mempunyai lapisan untuk mengurangkan rasa tegang mata serta boleh membantu tidur yang berkualiti pada waktu malam.
5. Pastikan kedudukan meja dan kerusi selesa:
> Kedudukan terbaik monitor adalah sedikit ke bawah dari paras mata, kira-kira 25 inci jarak dari muka anda.
**Untuk maklumat lanjut, hubungi:
Dr. Navpreet Sidhu
Pakar Bedah Mata
Klinik Pakar Mata Dr Nav
Putra Specialist Hospital Melaka
3:08A, Level 3,
169 Jalan Bendahara Melaka
012-2258851
06-2806124
TikTok: dr.nav.pakar.mata
IG: dr.nav.eye
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.