Sorting by

×

‘Menang bukan sebab dipotong tiga mata’

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) Zainal Abidin Hassan memuji kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya untuk memecahkan badi seri dan meraih kemenangan pertama Liga Super musim ini.

Ujarnya, meskipun dibebani pelbagai bentuk tekanan, namun pemainnya berjaya membuktikan ia sama sekali tidak melemahkan mental dan semangat mereka.

Beliau bagaimanapun menepis faktor pemotongan tiga mata menjadi punca kebangkitan skuad Hang Tuah ketika menewaskan Kelab Bolasepak Kuala Lumpur City (KL City FC), malam tadi.

“Bukan sebab hilang tiga mata, tetapi pemain memang ingin menunjukkan bahawa mereka tidak kenal erti kalah untuk memecahkan tradisi seri dalam empat perlawanan berturut-turut sebelum ini.

“Walaupun pada minit-minit akhir kita kelihatan sedikit keletihan, namun saya memuji kesungguhan mereka untuk bertahan dan menghadiahkan tiga mata pertama ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi, MUFC berjaya melebarkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan berturut-turut dan mengutip tiga mata pertama selepas menewaskan KL City FC 2-1.

Kedua-dua gol MUFC disumbangkan penyerang import Alex dos Santos Goncalves, manakala KL City memperoleh gol tunggal menerusi Abdul Aziz Rahim.

Dalam pada itu, mengulas mengenai rehat seminggu sebelum saingan liga bersambung April depan, Zainal berkata waktu itu akan dimanfaatkan pasukannya untuk mendapatkan rehat secukupnya selain menjalani proses pemulihan selepas berdepan jadual yang padat dalam tempoh tiga minggu.

Ujarnya, pihaknya juga akan mengkaji serta mengenal pasti segela kelemahan yang boleh diperbaiki sebelum berdepan aksi seterusnya.

Selepas ini, MUFC bakal berdepan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim yang dijadual pada 2 April depan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

692
Kongsi :
Previous post MUFC hapus badi seri
Next post Kedai makan Melayu guna robot pelayan
Ubah saiz-+=