Memperkasa Pedagogi Digital Era Covid-19
KAEDAH pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan negara telah melalui transformasi yang pelbagai.
Ia diperkukuhkan lagi dengan perkembangan pesat bidang teknologi membuatkan pendidik perlu menyesuaikan diri seiring peredaran masa.
Tambahan pula, Revolusi Industri 4.0 yang disokong oleh pihak kerajaan menjadikan sektor pekerjaan kini menuju ke arah adaptasi penggunaan teknologi dalam tugasan seharian.
Ini dibuktikan lagi dengan komitmen pihak kerajaan menyenaraikan pelan digitalisasi antara perkara utama dalam Belanjawan 2021.
Dengan mengambil langkah sedemikian, dijangkakan berbagai-bagai jenis proses dapat dipercepat dan sumber boleh dijimatkan.
Bidang pendidikan juga tidak ketinggalan terkena tempias dalam hal ini.
Ia telah terkait dengan insiatif Pendidikan 4.0 ataupun Pendidikan Alaf ke 21 yang sudah beberapa ketika diperkatakan mengenai konsepnya.
Ia menuntut pendidik memperkasa pedagogi yang digunapakai bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Ia juga secara tidak langsung, membudayakan teknologi kepada golongan pendidik agar menjadikan ia sebahagian alat bantuan mengajar pada masa kini.
Sektor pendidikan dianggap penting bagi sesebuah negara, bukan kerana ia memperoleh antara peruntukan tertinggi daripada pihak kerajaan dalam sesuatu pembentangan belanjawan di peringkat Parlimen, malahan dengan ilmu yang dipelajari dan pengalaman yang diperolehi di institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti, ia bakal menentukan corak kualiti kepimpinan dan kepemimpinan negara pada masa akan datang.
Lebih penting lagi, pendidikan sangat utama ketika kita sedang melalui satu tempoh yang getir di negara ini dan seluruh dunia dengan terjadinya pandemik Covid-19 yang mencabar keadaan norma hidup dan gerak kerja kita seharian.
Dengan ilmu, kita mampu untuk membezakan yang benar dan salah serta yang baik dan buruk dalam kehidupan.
Bertitik tolak daripada hal ini, para pendidik baik di peringkat rendah mahupun tinggi, disaran mengemas kini pedagogi yang digunakan agar terus terkait dengan perubahan zaman.
Norma kebiasaan sistem pendidikan sedia ada, amat bersesuaian untuk pengajaran secara bersemuka.
Namun, adakah ia masih relevan ketika negara dilanda wabak yang belum diketahui penghujungnya?
Adakah perlu dilakukan pengubahsuaian kepada kerangka kurikulum ataupun pedagogi yang dipraktikkan?
Jika perlu, persoalan seterusnya ialah adakah kita telah bersedia untuk mengadaptasikan diri dengan keadaan mendatang? Baik daripada pihak pendidik, pelajar mahupun ibu bapa.
Hakikatnya, kelangsungan hidup dan proses menuntut ilmu perlu diteruskan secara seiring walaupun melalui zaman yang mengusarkan.
Pedagogi abad ke-21 ini menuntut pihak-pihak yang berkaitan untuk melakukan penyesuaian diri dan sistem agar terus kekal terhubung dengan asimilasi proses pendigitalan yang sedang giat berlaku.
Bagi para pendidik, mereka perlu mesra dan peka kepada teknologi yang ada untuk melengkapkan diri bagi menyampaikan ilmu dalam platform yang tersedia dan turut menerapkan elemen pembentukan sahsiah dan keperibadian para pelajar.
Ini merupakan satu bentuk dilemma baru buat para pendidik di semua peringkat terutamanya komponen pembentukan watak dan sikap seseorang pelajar akibat perhubungan yang diadakan secara tidak bersemuka.
Maka, kreativiti para pendidik adalah amat dituntut untuk mencapai maksud ini.
Dalam menuju era pendigitalan, pedagogi yang dinamik perlu diperkasa bagi menyokong kaedah sedia ada, antara lainnya menekankan pembelajaran secara koloboratif, pengupayaan teknologi, mengoptimumkan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai wadah informasi dan pembelajaran berasaskan tugasan atau projek.
Pembelajaran secara koloboratif ditafsirkan sebagai cara para pelajar menggunakan kemahiran komunikasi diri bersama pelajar lain serta pihak berkaitan bagi menyiapkan sesuatu tugasan.
Teknik ini akan dapat menggalakkan percambahan idea daripada pemikiran para pelajar di luar ruang lingkup bilik darjah.
Dalam konteks pengupayaan teknologi, ia membawa maksud penggunaan platform teknologi berbeza dalam peranti mudah alih untuk tujuan pembelajaran.
Terdapat pelbagai jenis platform yang boleh digunakan oleh para guru dan pelajar. Ia dibangunkan untuk maksud dan golongan sasar tertentu mengikut kesesuaian suasana pengajaran dan pembelajaran.
Ringkasnya, penggupayaan teknologi dalam kaedah pengajaran oleh para pendidik dan pembelajaran bagi para pelajar mampu membantu kedua-dua belah pihak menyampaikan dan memahami sesuatu konsep walaupun terpisah beribu batu.
Mengoptimumkan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai wadah informasi pula memberi konotasi bahawa aplikasi yang tersedia mampu menghubungkan pertanyaan dan cadangan jawapan mengikut tafsiran tertentu.
Ia dilihat sebagai medium rujukan kepada pelbagai perkara yang berlaku di sekeliling kita, baik secara langsung ataupun tidak.
Tambahan pula, pembelajaran berasaskan tugasan ataupun projek mampu membuang stigma penilaian pelajar yang berbentuk peperiksaan semata iaitu hanyalah diasaskan oleh keupayaan para pelajar menghafal sesuatu konsep dan kadangkala tidak menghayati atau memahami maksud di sebalik konsep tersebut.
Dalam keadaan ini, demi untuk lulus peperiksaan sesuatu mata pelajaran, maka teknik penghafalan memainkan peranan utama.
Pembelajaran berasaskan projek mencabar keupayaan seseorang pelajar berfikir dan bertindak.
Kaedah ini dapat menggalakkan para pelajar memahami dengan lebih mendalam berkenaan sesuatu perkara.
Ini secara tidak langsung, mewujudkan suasana ingin tahu dan ingin mengkaji secara lanjut, berganding bersama untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan yang tidak terhad dan lebih menumpu kepada refleksi diri dengan persekitaran sebenar, luar daripada jangkauan silabus sesuatu mata pelajaran.
Bagaimanapun, perubahan terhadap kaedah pengajaran kepada pedagogi digital haruslah sejajar dan didokong oleh kerangka tunjang pendidikan negara merangkumi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara.
Hakikatnya, matlamat asas pendidikan adalah proses untuk mengadabkan insan atau proses kemenjadian pelajar.
Ia adalah aspek yang penting untuk menilai kejayaan sesuatu sistem pendidikan.
Bukan sahaja diukur dari segi pencapaian akademik semata, malah lebih tertumpu kepada proses pendidikan itu secara holistik iaitu dari sudut akademik, ko-kurikulum dan sahsiah.
Dalam erti kata lain, bagaimanakah sistem pendidikan sedia ada mampu menambahkan ilmu pengetahuan seseorang untuk manfaat alam sejagat, di samping membentuk akhlak dan peribadi agar tidak menyimpang daripada landasan agama dan norma kehidupan yang baik?
Tujuan umumnya adalah supaya kita akan dapat hidup secara harmoni dan sejahtera sebagai rakyat Malaysia yang berpengetahuan dan bertanggungjawab.
Bagaimanapun, cabaran pedagogi digital akan tetap ada dan akan sentiasa berubah akibat ketidaktentuan keadaan krisis kesihatan yang masih menerobos kehidupan setiap daripada kita tidak kira pangkat, keturunan dan jantina.
Implikasi daripada keadaan ini akan wujud dan perbezaan antara kita dengan orang lain adalah cara kita menangani sesuatu isu dengan bijaksana.
Ayuh, mari kita nyalakan lilin daripada mengadu tentang kegelapan sekeliling. Pendek kata, mari kita sama-sama menggembleng tenaga, baik daripada pihak pendidik, pelajar, ibu bapa mahu pun kementerian, untuk memperkasakan pedagogi digital dalam mendepani cabaran pengajaran dan pembelajaran era Covid-19.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.