Memperkasa Melaka sebagai hab pendidikan serantau
Oleh Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif
MUNGKIN tidak ramai yang tidak perasan atau tahu bahawa, Melaka, sebagai negeri kedua terkecil di Malaysia, mempunyai banyak sejarah gemilang, termasuklah hal tentang perkembangan ketamadunan ilmu dan pendidikan.
Dalam buku The Suma Oriental of Tome Pires misalnya, ada menyatakan; “di pelabuhan Melaka, lazimnya terdapat 84 bahasa dipertuturkan, tiap-tiap satu berlainan.”
Malahan, Francis Valentyne seorang sarjana Belanda pula menulis pada tahun 1726 bahawa, “bahasa Melayu adalah bahasa antarabangsa dan barangsiapa yang tidak mengetahui bahasa Melayu, dari Persia di sebelah Barat hingga Filipina di sebelah Timur, maka orang itu dianggap tidak berpelajaran”.
Bahkan menurut Profesor Dr Azyumardi Azra dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN), Jakarta pun menyebutkan, kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka silam, tidak hanya perlu disorot daripada sudut perdagangan dan pelabuhan semata-mata, sebaliknya Melaka juga terkenal sebagai pusat pertuturan bahasa dunia, penyebaran tamadun Islam dan pembuanaan ilmu serantau serta dunia.
Kehebatan Melaka sebeginilah yang diimpikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Bin Md Ali, Ketua Menteri Melaka ke-12. Beliau mempunyai agenda besar untuk menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan serantau dan dunia, yang berpaksikan kepada kecemerlangan duniawi serta ukhrawi. Mampukah direalisasikan?
KEDUDUKAN UNIVERSITI MALAYSIA DI PERSADA DUNIA
Kedudukan terkini merekodkan, lima universiti penyelidikan Malaysia menunjukkan peningkatan amat membanggakan dengan berada dalam kelompok 200 terbaik dunia dan Top 1% in the World, selain 10 universiti di Malaysia telah tergolong dalam 110 universiti terbaik di Asia, menurut Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021.
Lima universiti berkenaan adalah, Universiti Malaya (UM) di tangga ke-59 dunia dan 9 di Asia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada anak tangga ke-132 dan 28 di Asia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada kedudukan 141 dan 35 di Asia, Universiti Sains Malaysia (USM) di tangga ke-142 dan 34 di Asia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga ke-187 dan 39 di Asia.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, ini adalah pencapaian paling terbaik yang pernah dicapai oleh universiti-universiti awam mahupun swasta di Malaysia. Ia juga menunjukkan kita berada pada landasan yang betul dalam meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia dan bertaraf dunia, yang boleh membantu institusi tempatan untuk bekerjasama dengan penyelidik terkenal dari seluruh dunia.
KELEBIHAN MALAYSIA SEBAGAI PUSAT PENDIDIKAN DUNIA
Semestinya, negara Malaysia mempunyai beberapa kelebihan yang mampu menarik minat pelajar asing untuk menyambung pengajian mereka di negara ini.
Pertama; menurut Washington Accord Standard, Malaysia adalah antara negara yang menyediakan kos perkhidmatan pembelajaran terendah dan kompetitif serta berpatutan, berbanding Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Kedua; masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama, berupaya menarik minat pelajar antarabangsa, khususnya dari Timur Tengah, China, India dan Indonesia, untuk menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran, selain mempelajari kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.
Ketiga; institusi pendidikan Malaysia menyediakan pendidikan berkualiti tinggi, penuh dengan nilai ilmu pengetahuan, adab dan kemahiran terkini, fasiliti serta teknologi termoden, yang bertaraf global.
POTENSI MELAKA MENJADI HAB PENDIDIKAN SERANTAU
Walaupun hanya berkeluasan sekitar 1664 km persegi, namun Melaka mempunyai 46 institusi pendidikan tinggi yang terdiri dari 25 Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan 21 Institut Pengajian Tinggi Awam, yang meliputi universiti, kolej universiti, kolej, institut dan akademi.
Secara puratanya, boleh dikira bagi setiap 37 km, akan ada sebuah pusat pendidikan tinggi dan ini menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang tidak asing tentang perkembangan ilmu pengetahuan serta berpotensi besar untuk menjadi hab pendidikan serantau, dan bertaraf antarabangsa.
Kerana itulah, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka ke-12 telah menyatakan komitmen, dengan meletakkan usaha untuk memperhebat institusi pendidikan di negeri ini, agar lebih berkualiti, unik dan bertaraf dunia, sebagai misi keempat daripada lima misi T.E.R.A.S. Kerajaan Negeri Melaka.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan SME Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani, Melaka sebagai sebuah negeri maju dengan persekitaran kondusif, selamat dan bersih, telah menjadikannya sesuai untuk dibangunkan sebagai hab pendidikan negara serta di rantau ini.
Selain menerima kedatangan para pelancong dari seluruh dunia, untuk melihat keunikan sejarah dan kebudayaan serta keindahan negeri Melaka, mereka juga boleh menuntut ilmu, dengan menyambung pengajian pendidikan di negeri bersejarah ini, yang menyediakan institusi dan pusat pendidikan moden bertaraf dunia.
Melalui kemasukan pelajar domestik dan luar negara, secara tidak langsung akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, selain menjana pendapatan tambahan kepada Melaka.
PENUBUHAN UNIMEL
Kesungguhan Kerajaan Melaka juga turut dilihat dengan inisiatif terkini, apabila menubuhkan sebuah universiti baharu bernama Universiti Melaka (UNIMEL). UNIMEL nanti bakal menggabungkan kesemua institut pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri iaitu, Kolej Universiti Islam Melaka dan Melaka International College of Science & Technology (MiCOST) di bawah satu bumbung universiti penuh.
Penubuhan UniMEL ini juga adalah hasil keputusan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka pada Jun 2020 lalu, bagi menaiktaraf institusi pengajian tinggi, di bawah kerajaan negeri, selain untuk menarik lebih ramai pelajar dari dalam mahupun luar negara, bagi melanjutkan pengajian mereka di Bumi Hang Tuah ini.
HAB PENDIDIKAN DI DALAM M-WEZ
Melaka Waterfront Economic Zone atau M-WEZ sedang digerakkan, sebagai koridor baharu yang bakal menjadi game changer dan mercu tanda kepada ekonomi baharu negeri Melaka, pada skala yang lebih besar dan berimpak tinggi.
Menariknya, koridor M-WEZ ini, terdapat cadangan untuk diwujudkan Hab Pendidikan yang terkandung di dalam pembangunannya nanti, mengenengahkan konsep antaranya, educational tourism, inovasi, Industri 4.0, teknologi digital dan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C).
MAJLIS DIGITAL MELAKA
Negeri Melaka juga telah menubuhkan Majlis Digital Melaka (MDM). Penubuhan MDM ini, adalah selari dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara di peringkat Persekutuan, yang bertujuan antara lain, untuk mencipta lebih banyak peluang pendapatan dan pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam ekonomi digital.
MDM ini akan berfungsi untuk memberi khidmat rundingan dan nasihat kepada Kerajaan Melaka dalam hal-hal dasar mahupun polisi pembangunan infrastruktur teknologi digital, untuk merancang strategi yang sesuai, khususnya bagi menarik pelabur domestik serta luar negara, melabur dalam pembangunan ekonomi digital.
MDM ini dijangka bukan sahaja mampu memberi impak positif kepada sektor teknologi dan ekonomi, malah turut membantu pendidikan negara menuju digital sepenuhnya yang akses jaringannya meluas ke serata dunia.
KESIMPULAN
Jelas sekali, pada abad ke-21 ini, cabaran tentang pendidikan semakin mencabar, seiring dengan tuntutan global antaranya ledakan teknologi maklumat, era globalisasi, industri 4.0 dan ekonomi digital serta yang terkini adalah penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, mengakibatkan berlakunya ‘the new norm’ dalam kehidupan manusia.
Saidina Ali KW, salah seorang sahabat Baginda Rasulullah S.A.W. pernah berkata, ‘Didiklah anak kamu sebagaimana zamannya. Kerana mereka bukan hidup di zamanmu’.
Iktibarnya, sistem pendidikan dan peradaban ilmu, haruslah seiring dengan perkembangan teknologi terkini. Jika tidak, kita akan bakal jauh ketinggalan, terpinggir atau mungkin tidak relevan lagi dengan peredaran zaman kontemporari dan masa depan.
Sebab itulah, keputusan Kerajaan Negeri Melaka untuk memperkasa dan menaiktaraf institusi pendidikan di negeri ini wajar diberi perhatian dan disambut dengan baik.
Bermula usaha untuk menubuhkan UNIMEL, educational hub dalam M-WEZ dan juga Majlis Digital Melaka, dijangka berupaya mencorakkan masa depan yang lebih gemilang, khususnya dalam menjadikan Melaka sebagai sebuah hab pendidikan bertaraf serantau dan dunia.
Bahkan jika tidak keterlaluan, mungkin lebih hebat lagi daripada kegemilangan empayar silam Kesultanan Melayu Melaka. Kita doakan tekad dan impian kudus Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Melaka akan berjaya direalisasikan bersama. InsyaAllah!
**Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) merangkap Penasihat Ekonomi dan Inovasi Kepada Ketua Menteri Melaka.