Memorial Tun Abdul Ghafar Baba terbuka kepada semua

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PENGKALAN BATU 29 Julai – Memorial Tun Abdul Ghafar Baba yang terletak di Peringgit di sini, tidak terhad kepada kunjungan kumpulan tertentu sahaja sebaliknya terbuka kepada semua peringkat usia.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM) Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, pihaknya amat menggalakkan agar generasi muda khususnya meluangkan masa untuk berkunjung ke memorial itu yang sebelum ini menjadi kediaman Ketua Menteri Melaka kedua.

Katanya, pihak ANM amat berharap agar keberadaan Memorial Tun Abdul Ghafar Baba ini dapat diuar-uarkan secara meluas kepada masyarakat terutamanya bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang kini sedang berlangsung.

“Lagi ramai yang datang lagi bagus kerana kita juga inginkan generasi muda untuk datang melawat ke sini bagi melihat sendiri kediaman yang pernah dihuni mantan Timbalan Perdana Menteri.

“Kerana (memorial) ini tidak terhad kepada kumpulan tertentu malah sentiasa terbuka untuk menerima kunjungan semua lapisan masyarakat.

“Kami juga amat berharap bukan sahaja Kerajaan Negeri tetapi pihak yang terbabit dapat bersama-sama dengan ANM untuk memperkenalkan destinasi ‘edutainment’ ini agar dikunjungi khususnya pada hujung minggu” katanya.

Beliau, berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kembara Memorial: Anak Malaysia Merdeka, di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, di sini, semalam.

Hadir sama, anak Tun Abdul Ghafar Baba iaitu Datin Seri Zainun dan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mustafa Musa.

Menurutnya, Memorial Tun Abdul Ghafar Baba ini antara memorial di bawah ANM yang mempamerkan bahan asal berkaitan tokoh negarawan.

“Mudah-mudahan dengaj usaha yang dibuat ini akan memberikan faedah dalam memastikan matlamat membina generasi celik sejarah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post GB4B komited bersama bangunkan Melaka
Next post Pantai Hospital, hospital pertama di Melaka perkenal bantuan robotik Da Vinci Xi
Ubah saiz-+=