‘Memori Eidulfitri’ daripada Monsta di tempat pertama iklan raya dalam YouTube
KUALA LUMPUR 13 Mei. – Iklan Raya Monsta 2021 ‘Memori Eidulfitri’ yang dimuat naik di beberapa saluran rasmi Monsta Youtube Channel pada 7 Mei lalu, berjaya mengumpul ‘organic views’ dengan jumlah tontonan tertinggi dalam YouTube sekali gus menempatkannya di tempat pertama dalam koleksi iklan raya tahun ini.
Iklan raya Memori Eidulfitri berdurasi empat minit setengah ini memaparkan adegan generasi keluarga BoBoiBoy pada pagi Syawal, dalam tiga rantaian masa yang berbeza.
Ia menceritakan perjalanan memori sewaktu Amato (Mechamato; ayah kepada BoBoiBoy) pada usia remaja, Amato yang sudah berumah tangga di usia dewasa bersama anaknya BoBoiBoy yang masih kecil, dan adegan BoBoiBoy pada masa kini yang sudah pun meningkat remaja dan tinggal bersama datuknya.
Ketua Jenama dan Pemasaran Antarabangsa Monsta Faiz Zainal Aabidin dalam kenyataan berkata, iklan ini sangat memberi kesan kepada penonton yang sedang melalui situasi yang seakan sama ketika musim pandemik yang kini menyukarkan lagi pertemuan sesama ahli keluarga dan sanak saudara.
“Rata-rata penonton tersentuh dan merasa hiba melihat kenangan mesra BoBoiBoy bersama ayahnya Amato, dan turut merasa kepiluan BoBoiBoy yang merindui ibu bapanya setelah bertahun tidak bersua muka.
“Iklan raya tahun ini secara tidak langsung merupakan hadiah istimewa daripada Monsta buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti kepada siri animasi tempatan BoBoiBoy dan Mechamato,” katanya.
Kelainan yang dibawakan Monsta dalam iklan raya tahun ini ialah kemunculan dua watak wanita utama yang baharu iaitu Umi; nenek kepada BoBoiBoy dan juga seorang wanita misteri berjubah biru yang diberitahu adalah ibu kepada BoBoiBoy.
Sementara itu, dalam laman media sosial Twitter, tanda pagar #MemoriEidulfitri dan #BoBoiBoy berjaya memasuki bahan ‘trending’ atau sohor kini di Malaysia dan Indonesia, sejam setengah selepas keluaran rasmi video tersebut.
Sehingga kini, iklan raya Memori Eidulfitri terbabit sudah mencapai 1.9 juta perkongsian menerusi Facebook rasmi BoBoiBoy.
Iklan raya ini juga mendapat liputan meluas daripada kumpulan media tempatan seperti Bernama, MalaysiaKini, Harian Metro, Astro Awani, Siakap Keli dan banyak lagi. Ia turut ditayangkan di stesen televisyen tempatan TV3 dan Astro Ceria, serta disiarkan di stesen televisyen Indonesia RTV sepanjang perayaan Aidilfitri ini.
Menerusi adegan nostalgia dalam iklan raya Memori Eidulfitri ini, penonton juga dapat mengenali dengan lebih dekat watak Amato dan sebuah robot Power Sphera milik beliau bernama MechaBot.
Animasi adiwira terbaharu ini bakal menemui penonton dalam siri animasi dan filem tersulung Mechamato, tidak lama lagi.
Monsta adalah syarikat harta intelek dan watak yang telah menghasilkan pelbagai siri animasi, filem dan produk pengguna dalam masa lebih dari sedekad.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.