MEMBUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 14 September – Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera menjadi platform untuk mendidik masyarakat mengenai pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Kerajaan Negeri memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merealisasikan hasrat itu menerusi Pelan Srategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam pembudayaan hidup sihat meliputi kaedah berbeza termasuklah institusi pendidikan seperti prasekolah dan tabika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

“Bulan Malaysia Sihat Sejahtera yang diadakan pada setiap bulan September adalah salah satu program tahunan dalam kalendar KKM selari dengan hala tujunya untuk beralih fokus daripada perawatan kesihatan kepada penjagaan kesihatan dengan menggunakan pendekatan pencegahan dalam promosi pembudayaan hidup sihat.

“Pelaksanaan bulan ini bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang sihat menerusi pembudayaan gaya hidup dengan meningkatkan literasi kesihatan dan solidariti promosi antara agensi, NGO, swasta dan komuniti.

“Seperti penganjuran Health Promotion in Learning Institutions atau dikenali sebagai HePiLI adalah sebuah Program Promosi Kesihatan di Institusi Pendidikan yang mula diperkenalkan sejak tahun 2018 di mana semua program yang melibatkan institusi pendidikan telah diletakkan di bawah sektor yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI Bersama Didi & Friends di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hee Sem berkata, penganjuran itu juga mampu memberi pendedahan seawal usia kanak-kanak untuk membudayakan gaya hidup sihat.

Katanya, ia juga sekali gus menjadi salah satu daripada usaha kerajaan menyalurkan maklumat kesihatan secara edutainment (didik hibur).

“Saya dimaklumkan, Kembara Sihat Sejahtera HePiLI Bersama Didi & Friends Zon Selatan telah bermula dengan sesi Meet & Greet yang diadakan pada 9 dan 11 September yang lepas melibatkan dua buah sekolah di Johor dengan penglibatan seramai 2,500 orang murid.

“Antara informasi yang difokuskan semasa sesi Meet & Greet adalah seperti Tak Nak Merokok dan Vape, Minda Sihat dan pelbagai lagi tingkah laku kesihatan yang diketengahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

121
Kongsi :
Previous post 2,500 ORANG MELAKA DAPAT LESEN PERCUMA
Next post BUSANA REKAAN ANAK BAWA TUAH BUAT SURI RUMAH
Ubah saiz-+=