Sorting by

×

MEMANCING PERCUMA TAMBAH KEMERIAHAN W.R.U.R KUALA LINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LINGGI 12 Januari – Bukan sahaja dapat memancing secara percuma di Kolam Air Masin Telok Belanga dan membawa pulang ikan, malah turut disediakan hadiah menarik untuk peserta.

Itulah istimewanya Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dan bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi sejak 4 Januari lalu.

Pertandingan Memancing DUN Kuala Linggi itu merupakan sebahagian daripada pengisian program W.R.U.R yang berlangsung selama dua minggu di kawasan berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pertandingan itu disertai seramai 156 kaki pancing di sekitar Kuala Linggi dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM3,000.

Jelas beliau, program itu diadakan bukan sahaja untuk mengeratkan ikatan silaturahim di antara penduduk, bahkan turut mempromosikan tarikan pelancongan yang ada di kawasan Kuala Linggi seperti Kolam Memancing Air Masin Telok Belanga.

“Walaupun masuk adalah percuma dan peserta boleh membawa pulang ikan yang dipancing, namun hadiah yang ditawarkan juga cukup lumayan di mana sebanyak 30 hadiah disediakan dan juara akan membawa pulang RM300, diikuti RM200 dan RM100 untuk tempat kedua dan ketiga.

“Inilah indahnya program W.R.U.R di mana di samping mendengar denyut nadi rakyat, program ini juga turut merangkumi pelbagai pengisian yang amat bermanfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Whatsapp Image 2025 01 12 At 14.35.56
RAIS menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing DUN Kuala Linggi di Kolam Air Masin Telok Belanga.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Memancing DUN Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Daerah dan Tanah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim dan lain-lain kenamaan.

Terdahulu, pada sebelah pagi, Ketua Menteri telah merasmikan Kolam Air Masin Telok Belanga dan seterusnya menyempurnakan pelepasan peserta pertandingan memancing itu.

Ab Rauf turut menunjukkan bakat memancingnya di kolam berkeluasan lima hektar itu dan berjaya menaikkan seekor ikan siakap merah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

153
Kongsi :
Previous post 3,000 ANAK POKOK KELAPA PERCUMA UNTUK ORANG MASJID TANAH
Next post BINA BAHARU, BAIK PULIH 10 RUMAH NELAYAN MELAKA
Ubah saiz-+=