Memahami tugas pengamal media
INSIDEN kekecohan yang berlaku antara pengamal media dan golongan lain bukanlah perkara baru. Ia seringkali berlaku, cuma yang terbaru ini melibatkan ‘sentuhan’ fizikal.
Kejadian pada 21 Jun lalu di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam memerlukan perhatian dan tindakan segera dari semua pihak, termasuk pengamal media.
Insiden berpunca dari keadaan sesak di kompleks mahkamah Shah Alam semasa para peguam menuju ke kamar mahkamah. Para petugas media pula sedang membuat liputan kes yang sedang dibicarakan.
Tanpa prejudis, klip video yang tular memang agak tegang. Apabila melibatkan ‘sentuhan’ fizikal, tentunya pihak yang terlibat akan mempertahankan tindakan masing-masing.
Sebenarnya, kejadian sebegini boleh dielakkan jika semua pihak saling menghormati bidang tugas masing-masing. Kita semua punya tugasan dan peranan tersendiri.
Tugas pengamal media ialah melaporkan kejadian (berita). Demi memenuhi tuntutan tugas, mereka seboleh mungkin cuba mendapatkan bahan terbaik untuk dilaporkan.
Ibarat nelayan keluar ke laut mencari ikan, tidak akan pulang tanpa hasil tangkapan. Begitulah juga pengamal media. Jika boleh, mereka tidak mahu pulang dengan tangan kosong apabila keluar bertugas.
Kerana itu ada segelintir wartawan dilihat agresif dalam mengejar bahan berita. Ada yang berlari mengejar bahan, ada juga yang kelihatan ‘garang’ bertanyakan soalan.
Bagi jurufoto dan juruvideo pula, gambar adalah hasil artistik yang mengandungi seribu satu cerita. Kerana itulah, mereka akan berpusu-pusu dan menyelit mencari sudut terbaik menghasilkan bahan.
Semua perilaku itu adalah demi tugas. Apabila tugasan dapat dilaksanakan dengan baik, terbit kepuasan dalam diri petugas media mahu pun majikan tempat mereka bertugas.
Jika ada kekangan di lokasi, timbul rungutan pengamal media bahawa mereka ini tidak dihargai. Maka timbul jurang pertentangan di antara media dengan profesyen lain.
Pengamal media sering meluahkan “mereka tak faham media”, “mereka tak tau tugas wartawan (pengamal media)”. Ini ditujukan kepada profesyen lain yang disifatkan ‘menghalang’ tugas mereka.
Sementara pengamal media mahu profesyen mereka dihormati, mereka juga wajib memahami bidang tugas dari profesyen lain. Mereka juga punya keutamaan sesuai tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Pengamal media perlu menghormati privasi individu atau organisasi yang tidak mahu ditemubual. Adalah menjadi hak individu atau organisasi jika mereka tidak mahu mengeluarkan kenyataan atau komen.
Sebagai contoh, apabila seseorang pemimpin tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sedangkan beliau amat dikenali sebagai seorang yang sangat ‘mesra’ media.
Maka petugas media perlu menghormati pendirian tersebut atas apa jua alasan. Petugas media di lapangan tidak perlu menggasak atau membuat provokasi yang tidak selesa di lapangan.
Petugas media perlu bijak menangani situasi tersebut serta pantas mencari bahan lain untuk disiarkan sesuai keadaan semasa. Ini perlu disesuaikan dengan situasi semasa.
Bagi urusan dengan pihak berkaitan undang-undang dan penguatkuasaan, pengamal media perlu faham dan bertolak ansur. Pengamal undang-undang dan penguatkuasa tentunya mempunyai tugas mereka juga.
Mereka amat menitikberatkan soal keselamatan. Penguatkuasa juga harus memastikan keselamatan pengamal media dan masyarakat awam setempat dijaga dengan baik.
Seringkali berlaku suspek bertindak agresif dan cuba mencederakan pengamal media berhampiran mereka. Kerana itulah ada peraturan tertentu dibuat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Makanya, kekeliruan begini perlu dirungkaikan. Satu titik pertemuan perlu segera dicari agar ‘sentuhan’ fizikal antara pengamal media dan pihak lain tidak berulang, lebih-lebih lagi ketika ketika pengamal media mencari bahan berita.
Pengamal media perlu sentiasa peka dan sensitif dengan situasi semasa. Mereka perlu menghormati apa jua pendirian individu atau organisasi. Begitu juga apa-apa peraturan dari penganjur dan pihak berkuasa.
Saya percaya pengamal media yang rasional tidak meminta lebih, cukuplah dengan sedikit penghargaan dan kemudahan untuk mereka bertugas mendapatkan bahan berita terbaik. Itu sudah memadai.
Bagi penganjur dan petugas program, permudahkanlah urusan petugas media. Berurusanlah sebaik mungkin dengan mereka. Jika ada masalah ketika majlis berlangsung, berbincanglah sebaik mungkin.
Kita mulakan dari diri kita sendiri. Ketepikan ego, semoga kejadian ‘sentuhan’ fizikal tidak lagi berulang. Kita mampu melakukannya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
One thought on “Memahami tugas pengamal media”
Comments are closed.