Sorting by

×

Melgrab capai sasaran pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 April – Bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah berjaya mencapai sasaran dengan menarik lebih 1.2 juta pengunjung dalam tempoh tiga minggu penganjurannya.

Sambutan orang ramai ke bazar anjuran Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) itu sekali gus memberi sinar kepada peniaga tempatan untuk memulihkan pendapatan masing-masing selepas dua tahun bergelut dengan pandemik COVID-19.

Penganjur Melgrab, Mohd Sayuthi Abd Rani berkata, pihaknya menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung termasuk memberi hadiah istimewa kepada pengunjung bertuah.

“Sebelum ini kita jangkakan 1 juta pengunjung hadir membeli kelengkapan bagi persiapan Aidilfitri di sini, namun selepas lebih tiga minggu beroperasi ia sudah melebihi sasaran dengan 1.2 juta pengunjung setakat ini,” katanya.

Mohd Sayuthi Abd Rani

Dalam pada itu, Mohd Sayuthi berkata meskipun hadiah utama bagi cabutan bertuah sudah diumumkan namun ada lagi hadiah menarik menanti pengunjung bertuah yang membeli barangan di bazar serendah RM30.

Jelasnya, sejak hari pertama bazar Ramadan itu beroperasi lebih 200,000 kupon diberikan kepada pengunjung yang layak menyertai cabutan bertuah itu.

“Cabutan bertuah seterusnya iaitu motosikal Y15 dan barangan elektrik akan dilakukan dan diumumkan secara ‘live’ menerusi Facebook Melgrab pada 30 April ini.

“Proses cabutan itu dilakukan secara ‘live’ supaya pembeli boleh melihat sendiri kita telus memilih pemenang cabutan bertuah dan diumumkan terus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1044
Kongsi :
Previous post Tular Aidilfitri 2 Mei tidak sahih
Next post Pengarah syarikat, penganggur nafi sogok juruteknik TNB
Ubah saiz-+=