Melayu ditindas 22 bulan zaman PH, dakwa Najib
MASJID TANAH 24 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Melayu menjadi bangsa ‘terbangsat’ dalam tempoh 22 bulan di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Beliau mendakwa pelbagai dasar yang dibuat kerajaan PH dilihat telah dikurangkan keuntungannya khususnya kepada golongan B40 dan orang Melayu pada keseluruhannya.
Ujarnya, pimpinan PH mahupun Bersatu tidak seharusnya diberi peluang mentadbir kerajaan bagi memelihara dasar-dasar rakyat.
“Saya melihat dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan PH selama 22 bulan mereka memerintah tidak menguntungkan golongan B40 dan tidak menguntungkan orang Melayu keseluruhannya.
“Bukanlah saya melihat ini semua dari sudut perkauman, tidak. Tetapi kita mesti menentukan dasar kita ini dapat melahirkan masyarakat yang lebih adil dan saksama.
“Mengikut data yang dikumpul oleh Department of Statistic Malaysia (DOSM), jurang perbezaan pendapatan antara kaya dan miskin semakin mengecil sewaktu BN memerintah.
“Tetapi sebaliknya menjadi semakin melebar waktu PH memegang teraju kerajaan selama 22 bulan. Ini data, ini bukan saya kata, ini bukan ‘political retoric’. Ini data sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menghadiri penyampaian Bantuan MAIM (Al-Ma’niah Al Amal) anjuran Persatuan Peniaga dan Pengusaha Kecil Melayu Negeri Melaka, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Terdahulu, dalam ucapannya, Najib menyifatkan melayu menjadi bangsa ‘terbangsat’ dalam tempoh 22 bulan dibawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu dakwanya, berikutan jurang kemiskinan daripada data Jabatan Perangkaan Malaysia semakin melebar dalam tempoh 22 bulan itu.
“Saya boleh gunakan perkataan lain tetapi untuk menggambarkan apa berlaku, saya gunakan perkatan ‘terbangsatlah’ bangsa melayu ketika itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.