Melawat buaya dalam talian
AYER KEROH 16 Jun- Biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara disambung sehingga 28 Jun ini, pencinta haiwan masih berpeluang ‘melawat’ Taman Buaya dan Rekreasi Melaka secara maya buat julung kalinya.
Menggunakan aplikasi Google Meet dan membayar RM7, orang ramai boleh meneroka Taman Buaya sambil menikmati penerangan berkenaan pelbagai haiwan di situ serta memberi buaya makan.
Pengurus Besar Taman Buaya dan Rekreasi Melaka, Ahmad Syariffudin Mohamad ketika dihubungi berkata, inisiatif mengadakan lawatan secara atas talian itu merupakan langkah alternatif pihaknya bagi memberi peluang ‘melancong meskipun berada di rumah.
Katanya, memandangkan PKP dan semuanya perlu kekal berada di rumah bagi mengelakkan penularan wabak Covid 19, inisiatif itu boleh mengisi masa lapang selain dapat memberi ‘input’ berilmiah.
“Sejak kita buka permohonan atas talian lawatan maya PKP itu bermula Sabtu lalu dan sehingga jam 2 petang hari ini, lebih 10,000 permohonan pihak kami terima.
“Permohonan diterima pula bukan sahaja dari dalam Melaka malahan hampir majoritinya dari luar seperti Pulau Pinang, Kedah, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.
“Lawatan maya ini akan diadakan dua sesi iaitu pagi dan petang pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad serta terhad kepada 100 pengunjung sekali sesi atas talian,” katanya.
Menurutnya, penonton akan diberi penerangan berkenaan lebih 100 ekor buaya serta haiwan-haiwan lain yang terdapat di situ termasuk ular, arnab, rusa timur, dan pelbagai jenis burung.
“Selain itu, menerusi lawatan dihujung jari ini, penonton turut didedahkan dengan sisi-sisi lain buaya yang ramai tidak tahu, sekali gus dapat melihat apa yang terbaharu di Taman Buaya.
“Menerusi inisiatif tersebut, penonton juga dapat mengamati jenis dan spesies buaya yang terdapat di situ seperti buaya Tembaga, Siam, Jejulung dan Caiman, serta demonstrasi buaya makan dan pelbagai lagi.
“Akhir sekali, pihak Taman Buaya dan Rekreasi turut membuat program adopsi terbuka haiwan yang terdapat di Taman Buaya dan Rekreasi itu bagi tujuan mendapatkan dana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.