‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia’ jadi slogan rasmi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 1 Jul – Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali mengumumkan slogan rasmi terbaharu Negeri Melaka di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

Slogan terbaharu tersebut ialah ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia’.

Jelasnya pemilihan slogan baharu itu bertepatan dalam menzahirkan rasa kepunyaan dan memiliki atau sense of belonging, membangkitkan roh serta semangat kekitaan rakyat negeri ini yang berbilang agama, bangsa dan budaya supaya dapat hidup bersatu, saling bantu membantu.

“Melakaku Maju Jaya pula bermaksud negeri Melaka yang terus kekal maju ke hadapan, makmur, berdaya saing, lebih berjaya, berjati diri, mempunyai kesemua ramuan kejayaan, seperti efisyen, cepat bertindak dalam memenuhi kesemua KPI.

“Ia juga sebuah kerajaan kontemporari, futuristik, responsif dan sentiasa bersedia dengan perubahan serta kemajuan teknologi dunia, khususnya untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Ekonomi Digital (digital economy) serta masyarakat 5.0 (society 5.0),” katanya.

Jelasnya lagi, Rakyat Bahagia pada slogan pula melambangkan usaha sebuah kerajaan negeri yang berjiwa rakyat, prihatin, mendengar keluhan dan merasai denyut nadi rakyat, khususnya rakyat B40, supaya rakyat dapat hidup bahagia.

“Manakala, slogan Menggamit Dunia pula dirangkumkan kerana ingin ‘memanggil’, ‘mencuit’, ‘menarik’, perhatian dunia, bukan sahaja pelancong, bahkan para pelabur serta negara-negara lain untuk berkunjung, melabur dan menyakini bahawa Melaka ini adalah sebuah destinasi pelancongan dan pendidikan terkemuka di dunia,” ujarnya.

Menurut Sulaiman, pihaknya juga akan mengadakan pertandingan mencipta logo slogan terbaharu itu terbuka buat orang ramai.

Views:

6622
Kongsi :
Previous post ‘Menuju Negeri Lestari’ jadi visi terbaharu negeri Melaka
Next post Tonggak 5K jadi teras penjawat awam Melaka
Ubah saiz-+=