Sorting by

×

MELAKA WUJUDKAN KLUSTER ‘HOMESTAY’ BAHARU DI KAMPUNG CHINCHIN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 Mac – Kampung Chinchin, Jasin akan dijadikan kluster ‘homestay’ atau inap desa terbaharu di Negeri Melaka tahun ini.

Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Negeri Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, pertambahan kluster ‘homestay’ baharu itu menjadikan keseluruhan 10 kluster telah diwujudkan di Melaka.

Menurut beliau, pemilihan Kampung Chinchin sebagai lokasi terbaharu adalah memandangkan kawasan itu masih mengekalkan suasana kampung selain turut mempunyai pelbagai tarikan menarik seperti tasik yang mendamaikan.

Katanya lagi, langkah itu juga diambil sebagai persiapan Melaka menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) pada September depan.

“Kita kini sedang melakukan penilaian terhadap tapak cadangan Kluster Homestay di Kampung Chinchin, di mana kita menyasarkan sekurang-kurangnya 15 buah rumah untuk dijadikan inap desa buat pelancong.

“Kami di pihak homestay sentiasa bersedia memastikan pelancong serta delegasi pelancongan yang datang ke Malaysia, khususnya Melaka, dapat merasai suasana kampung yang menenangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Riang Ria Hari Raya di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Menurut Akramuddin, bersempena WTD dan WTC 2025 pelbagai pakej menarik akan ditawarkan oleh pemilik inap desa di negeri ini untuk menarik lebih ramai pelancong menginap di kemudahan mereka.

Ia termasuklah pakej-pakej membabitkan budaya masyarakat dan sukan tradisional di kampung-kampung.

Beliau turut optimis lanjutan Tahun Melawat Melaka sehingga 2026, selain Melaka menjadi lokasi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) akan terus memberi nilai tambah dan meningkatkan tempahan inap desa di negeri ini.

“Terima kasih diucapkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang sentiasa berusaha memperkasa sektor pelancongan di negeri ini.

“Alhamdulillah berkat pelbagai acara dan inisiatif yang dilakukan, tempahan inap desa di negeri ini terus meningkat saban tahun,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MPHTJ CANTAS, TEBANG LEBIH 4,000 POKOK UNDANG BAHAYA
Next post PEMUDA UMNO MASJID TANAH SUMBANG BAJU RAYA PERCUMA