Melaka wakil Malaysia ke Asian Clean Tourist City Standard
AYER KEROH 23 Disember – Negeri Melaka yang diiktiraf sebagai bandar terbersih di negara ini dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Asian Clean Tourist City Standard (2024-2026) di Vientiane, Laos pada 26 Januari 2024 nanti.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pemilihan itu adalah satu kebanggaan untuk rakyat Negeri Melaka.
“Kepercayaan diberikan ini membuktikan Kerajaan Negeri berada pada landasan yang betul dalam usaha melestarikan Melaka sebagai negeri terbersih.
“Jika ada ruang atau kekurangan kita akan perbetulkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) 2023 Sempena Sambutan Hari Perbandaran MPHTJ ke-14 diadakan di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron.
Sebelum ini Bandaraya Melaka diiktiraf sebagai bandar terbersih dalam negara menerusi satu pertandingan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pengiktirafan itu diraih Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi Anugerah Asean Clean Tourist City Standard (2024-2026).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.