MELAKA WAJIBKAN POTONGAN GAJI EXCO UNTUK CUKAI BERJADUAL

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 4 Disember – Semua Exco Kerajaan Negeri akan diwajibkan untuk melaksanakan pemotongan gaji bagi pembayaran cukai berjadual di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu bagi memberi contoh kepada lebih ramai rakyat Melaka untuk menzahirkan rasa tanggungjawab kepada negara dengan membayar cukai.

Jelas beliau, pemotongan gaji itu juga terpakai untuk dirinya sebagai Ketua Menteri.

“Saya sudah maklumkan kepada Datuk Wira Salhah Salleh (Pegawai Kewangan Negeri) untuk memotong gaji saya bagi pembayaran cukai secara berjadual dan saya juga meminta ia turut dilakukan kepada semua Exco Kerajaan Negeri.

“Kita perlu menunjukkan satu contoh yang baik dan menunjukkan rasa kebertanggungjawaban kepada negara, bukan sahaja dengan membayar cukai, tetapi juga mematuhi setiap tatakelola,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Hasilian Melaka Tahun 2024 di Pejabat LHDN Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin; Pengarah LHDN Melaka Mohd Shahriz Ramli serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, kutipan cukai merupakan kunci utama kepada pentadbiran negara yang lebih berkesan, di mana ia dibuktikan menerusi pembangunan dahulu dan sekarang.

Jelas beliau, ini kerana kutipan cukai antara sumber pendapatan terbesar negara yang dapat membantu sektor ekonomi negara, bahkan memperkukuh pertumbuhan dan kestabilan pembangunan infrastruktur yang merupakan asas kepada kemakmuran negara.

Beliau berkata, meskipun Melaka sebuah negeri yang kecil, namun kutipan cukai di negeri ini mencecah RM1.8 bilion, sekali gus turut menyumbang kepada negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post MANEK SULAMKAN SI AYER MATA, ANGKAT SENI HALUS KASUT MANIK
Next post AB RAUF DILANTIK IKON HASIL MELAKA
Ubah saiz-+=