Melaka, Uzbekistan perkukuh hubungan pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Melaka komited untuk terus menjalin kerjasama pelancongan dengan negara-negara luar khususnya menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), tidak lama lagi.

Terbaharu, Kerajaan Negeri berhasrat meneroka kerjasama pelancongan bersama Uzbekistan selepas dijemput menghadiri Perhimpunan Agung Sesi Ke-25 World Tourism Organization (UNWTO) di negara berkenaan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kerjasama itu boleh diteroka selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara Malaysia dan Uzbekistan bagi pertumbuhan dan kelestarian industri pelancongan dua negara.

Katanya, pemeteraian MoU itu merupakan satu peristiwa penting di antara kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan pelancongan termasuk bersama Negeri Melaka.

Tambah Abdul Razak, Melaka dan Uzbekistan boleh berkolaborasi memandangkan kedua-duanya mempunyai persamaan dan kekuatan dalam bidang pelancongan.

“Kekuatan dan persamaan di antara Melaka dan Uzbekistan meliputi aspek warisan sejarah, budaya, seni, gastronomi dan program-program kebudayaan yang masih terpelihara.

“Kesemua ini boleh memperkukuh tarikan pelancongan bagi kedua-dua destinasi pada masa akan datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.

Bersempena perhimpunan agung yang berlangsung di Samarkand itu, Kerajaan Malaysia yang diketuai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing telah mengadakan kunjung hormat bersama Menteri Ekologi, Perlindungan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Republik Uzbekistan, H.E Aziz AbduKhakimov.

Kunjung hormat itu juga dihadiri Abdul Razak bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Datuk Mohd Zamri Mat Zain dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Zaidi Johari.

Menurut Abdul Razak, pertemuan tersebut turut berkongsi pandangan dan membincangkan strategi yang boleh membantu pertumbuhan dan kelestarian industri pelancongan dua negara.

Ia penting kerana menurutnya, jumlah kedatangan pelancong Uzbekistan ke Malaysia menunjukkan peningkatan apabila direkodkan hampir 10,000 telah bercuti di negara ini sepanjang era pasca pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2856
Kongsi :
Previous post Bangga kepelbagaian budaya di Melaka
Next post PERANAKAN komited bantu generasi muda Cina, India kuasai Bahasa Melayu
Ubah saiz-+=