Melaka United buka tirai Liga Super dengan kekalahan
KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) memulakan saingan Liga Super 2022 dengan langkah kiri selepas tewas 0-1 di tangan Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Meskipun turun dengan kesebelasan utama berwajah baharu, namun skuad kendalian Risto Vidakovic gagal dalam misi untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan.
Lebih mengecewakan, mereka tewas di tangan pasukan yang beraksi keseluruhan pemain tempatan dalam aksi pembuka tirai itu.
Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan tampil dengan permainan seimbang dengan saling menggasak untuk memburu gol awal.
Namun, PJ City berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-43.
Gol itu dijaringkan bekas tonggak Melaka United musim lalu S Kumaahran yang berjaya melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Norazlan Razali.
Kumaahran nyaris menambah duka pelawat di minit akhir separuh masa pertama, namun sepakannya di depan pintu gol berjaya diselamatkan Norazlan.
Bersambung di babak kedua, Melaka United tampak terus bergelut apabila gagal merencana peluang terbaik untuk mencari gol penyamaan.
Sebaliknya, PJ City tampak lebih tenang dan sekali sekala berjaya melakukan beberapa asakan untuk menambah gol.
Kemasukan Norshahrul Idlan Talaha dan Muhammad Faizal Talib di minit-minit akhir perlawanan juga gagal memberikan impak yang diharapkan.
Keputusan satu gol memihak tuan rumah kekal selepas pengadil meniupkan wisel penamat.
Selepas ini Melaka United dijadual bertemu Penang FC dalam satu lagi aksi di tempat lawan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 8 Mac ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.