Melaka umum jawatan Timbalan Exco esok – KM
SERI NEGERI 5 April – Melaka akan mewujudkan semula jawatan Timbalan Exco, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurutnya, jawatan itu akan diumumkan esok selepas Mesyuarat Exco yang mana ia akan membabitkan semua wakil rakyat daripada Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kewujudan jawatan tersebut adalah bertujuan untuk membentuk barisan kepimpinan yang mantap bagi membangunkan Negeri Melaka.
“Insya-Allah semua Exco akan ada timbalan yang mana saya akan umumkan esok selepas mesyuarat.
“Pada saya, ketika era saya ini, saya melihat lebih sesuai untuk setiap Exco mempunyai jawatan Timbalan Exco bagi membolehkan semua (wakil rakyat) bekerjasama membangunka Melaka.
“Mungkin (kepimpinan) dahulu berbeza, tetapi pada era saya ini, saya memerlukan semua wakil rakyat mempunyai peranan bersama-sama saya untuk membangunkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari dan barisan-barisan Exco yang baru dilantik.
Mengulas mengenai pembentukan Exco baharu itu, Ab Rauf berkata, pelantikan itu telah mencerminkan semangat kebersamaan seperti mana yang dipraktik di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa barisan yang dipilih itu cukup mantap bagi bersama menggalas tanggungjawab memacu pembangunan Negeri Melaka ke arah yang lebih baik.
“Atas keyakinan inilah mereka-mereka (Exco) diberi tanggungjawab bersama saya dan semuanya bergantung bagaimana mereka menguruskannya dan saya tidak bimbang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.