
MELAKA UMUM 2 INISIATIF KHAS AIDILFITRI
AYER KEROH 18 Mac – Dua inisiatif khas disediakan Kerajaan Negeri bagi meringankan beban rakyat dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif khas pertama adalah parkir percuma yang akan diberikan pada 1 hingga 7 Syawal depan.
Jelas beliau, inisiatif parkir percuma itu akan melibatkan semua kawasan petak parkir di pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selain itu, Ketua Menteri turut mengumumkan peruntukan khas sumbangan Aidilfitri berbentuk pengangkutan khas yang disediakan kepada anak-anak mahasiswa kelahiran Negeri Melaka yang ingin pulang beraya ke negeri bersejarah bagi menyambut Aidilfitri.
“Saya berharap dengan adanya inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Melaka sekali gus membawa sinar kebahagiaan di samping keluarga tercinta untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2025 di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, pada sidang media selepas majlis berkenaan, Ab Rauf memaklumkan peruntukan khas pengangkutan untuk mahasiswa itu terpakai kepada semua penuntut institusi pengajian tinggi yang berada di Semenanjung Malaysia.
Beliau memaklumkan, nombor telefon sekretariat yang menguruskan peruntukan khas itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.