
MELAKA TUBUH SEKRETARIAT WORLD TOURISM MELAKA
AYER KEROH 24 Februari – Bersempena Melaka dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Forum Pelancongan Sedunia (WTC) pada September depan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah pasukan yang dinamakan Sekretariat World Tourism Melaka (WTM).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sekretariat itu akan bertindak sebagai badan induk yang akan menyelaras, memantau dan membangunkan sektor pelancongan, kebudayaan dan kesenian Negeri Melaka khususnya bagi sambutan WTD dan WTC 2025.
Jelas beliau, ia sekali gus menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membuat persediaan serta memastikan WTD dan WTC 2025 yang dianjurkan di bumi bertuah ini mempunyai kelas tersendiri.
“Jadi, Melaka akan cuba memberikan satu persembahan terbaik memandangkan acara ini merupakan acara peringkat antarabangsa yang dihadiri delegasi seluruh dunia.
“Jadi kita mewujudkan jawatankuasa kerja ini bagi membuat perancangan awal untuk melancar dan seterusnya menjayakan acara pelancongan terbesar di dunia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Februari 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, WTD dan WTC 2025 dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta tempatan dan antarabangsa dari 159 negara anggota.
Menurutnya, ia juga turut melibatkan lebih 500 peserta sektor swasta United Nations World Tourism Organization (UNWTO) dan juga barisan Menteri Pelancongan, Ketua-Ketua Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan serta beberapa tokoh-tokoh industri pelancongan terkemuka antarabangsa.
“Oleh itu, saya menyeru agar semua Ketua-Ketua Jabatan dan penjawat awam untuk cakna berkenaan WTD 2025 dan WTC 2025 agar dapat menjadi duta-duta kecil negeri Melaka bagi menjayakan program penuh bersejarah ini, seterusnya meningkatkan nama Negeri Melaka di persada dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.