MELAKA TUBUH PASUKAN ‘CORE BUSINESS GROUP’ JAYAKAN INISIATIF E-TANAH
PUTRAJAYA 6 November – Melaka menubuhkan pasukan ‘Core Business Group’ dalam kalangan pengguna-pengguna e-tanah yang berpengalaman.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pasukan tersebut ditubuhkan selepas mendapat keputusan sebulat suara daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), baru-baru ini.
Beliau memaklumkan, pasukan tersebut akan diketuai Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka sendiri, Datuk Noraini Tawel dengan sokongan semua warga kerja pentadbiran tanah negeri Melaka.
“Pada masa yang sama, bagi memastikan proses pembangunan selama 2 tahun tersebut tidak terganggu, Kerajaan Negeri telah bersetuju bahawa mereka yang dilantik sebagai ahli Core Business Group ini tidak akan ditempatkan keluar daripada pentadbiran tanah sekurang-kurangnya sehingga proses pembangunan ini selesai.
“Usaha ini merupakan komitmen yang besar oleh Kerajaan Negeri ke arah menjayakan Inisiatif e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta.
“Saya berharap sistem ini berjalan dengan lancar supaya akhirnya nanti dapat memberi manfaat kepada kerajaan mahupun rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e- Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta Bagi Negeri Melaka di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr. K. Ching Too; Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd, Syed Azmin Syed Nor dan kenamaan lain.
Pada majlis tersebut, Ab Rauf dan Nik Nazmi turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi sistem e-tanah bersama Puncak Tegap Sdn Bhd, di mana Kerajaan Negeri Melaka diwakili Azhar, manakala Puncak Tegap diwakili Syed Azmin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.